KOTA KINABALU : Pemain muda Sabah FC yang diturunkan dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini diingatkan untuk terus kekal konsisten dalam setiap aksi permainan termasuk perlawanan menentang Sarawak United FC di Stadium Likas di sini malam esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, ianya penting bagi memastikan para pemain yang diturunkan akan mendapat tahap kecerdasan yang cukup baik.
“Saya berharap para pemain muda yang diturunkan akan terus kekal konsisten jika mereka diberikan peluang untuk bermain.
“Ini penting untuk kita mendapatkan pemain-pemain dalam tahap kecerdasan yang cukup baik di mana kita bermain dengan banyak perlawanan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kim Swee berkata, pada ketika ini beberapa pemain masih mengalami kecederaan termasuk Gary Stephen Robbat; Stuart Wilkin dan Jackson De Souza yang belum pulih sepenuhnya.
Namun beliau akan melihat situasi keadaan pemain sebelum perlawanan menentang Sarawak United FC bermula.
Sementara itu, Kim Swee berkata, Mohd Amri Yahyah akan sentiasa dalam senarai pasukan berdasarkan kelebihan yang dimiliki pemain berpengalaman itu.
“Amri Yahyah akan sentiasa berada dalam senarai dan kita tahu kelebihan Amri, dan yang penting beliau terus menunjukkan prestasi yang baik jika diturunkan dan jika tidak diturunkan saya percaya Amri mampu menjalankan tugas dengan baik apabila kita memberi ruang kepada Amri untuk bermain pada bila-bila masa,” katanya.
Ketika mengulas bagi perlawanan menentang Sarawak United FC, Kim Swee berkata, meskipun pasukan yang dibimbing Ketua Jurulatih yang baharu S Balachandran itu tidak menunjukkan prestasi yang begitu baik ketika ini namun kemasukan pengendali baharu itu dilihat mempunyai banyak perubahan.
“Seperti mana perlawanan-perlawanan yang telah kita lalui sebelum ini semua pasukan adalah penting untuk kita berada pada tahap terbaik mencapai kejayaan.
“Tidak ada banyak perbezaan di antara apa yang ingin kita lakukan baik bermain dengan Sarawak, JDT atau pasukan mana sekalipun,” katanya.