Tiada paksaan malah sangat menghormati, mencintai seni silat – Merrywati

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU : “Silat adalah warisan orang-orang melayu, saya sebagai orang bukan melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat,” kata pesilat negara, Merrywati Manuil.

Merrywati yang berasal dari Keningau berjaya mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas dalam Kategori Solo Kreatif Wanita selepas menumpaskan pesilat dari Indonesia Puspa Arumsari pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh bulan lalu.

Selain aksi lincahnya yang mendapat perhatian ramai, pakaian yang digunakan terutama pemakaian tudung meskipun dirinya adalah beragama Kristian pada Kejuaraan itu juga turut mendapat reaksi ramai.

“Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya kristian. Walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung tetapi saya lebih memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan.

“Tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita melayu tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan,” katanya menerusi hantaran status di media sosial miliknya di sini semalam.

Katanya, tiada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak yang meminta dirinya untuk memakai tudung malah tindakannya itu juga adalah bagi menghormati seni silat warisan orang Melayu.

“Semestinya tiada paksaan dari mana-mana pihak. Saya belajar ilmu orang Melayu sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari.

“Semoga persoalan berkaitan memakai tudung ini terjawab. Aihh jangan serius bah kita kita juga baini. Kalau orang Melayu ada Mat Kilau, saya orang Murut ada Aki Antanom,” katanya yang merujuk kepada wira tempatan yang memimpin orang Murut untuk menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) satu ketika dahulu.

Merrywati adalah antara penyumbang tujuh emas skuad silat negara di kejohanan itu sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Kejuaraan silat itu berlangsung selama enam hari dan disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *