RANAU: Semua pemilik binatang ternakan seperti lembu dan kerbau di daerah ini diminta supaya mengurung atau menempatkan ternakan mereka di lokasi sewajarnya agar binatang ternakan tersebut tidak dibiarkan berkeliaran sehingga mengganggu pengguna jalan raya.
Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani berkata, sering berlaku kemalangan disebabkan binatang ternakan berkeliaran di kawasan jalan raya sehingga mengakibatkan kerosakan teruk pada kenderaan dan kecederaan serius malah ada yang kehilangan nyawa.
“Bukan sahaja menyebabkan kemalangan tetapi juga binatang ternakan yang berkeliaran itu juga memasuki dan merosakkan kawasan pertanian penduduk sekitarnya,” jelas Jumain dalam satu kenyataan menerusi surat pekelilingnya baru-baru ini.
Surat pekelilingnya itu, adalah selaras dengan ‘Cattle Grazing and Pounds Ordinen (Sabah Cap: 21) dan Seksyen 48, Ordinen Mahkamah Anak Negeri 1992.
Justeru, Jumain menyeru kepada pemimpin-pemimpin setempat supaya peka dengan masalah itu selain isu-isu semasa yang perlu ditangani segera.
“Kita mohon kepada Ketua Daerah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), semua Pemaju Mukim, semua Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), semua Ketua Kampung (Pemegang Adat) dan semua Pengerusi JPKK agar memanjangkan arahan ini kepada penduduk di bawah seliaan masing-masing,” tegas Jumain.