HomeSukanNor Farah sasar kejohanan World Beach, Sukan SEA 2023

Nor Farah sasar kejohanan World Beach, Sukan SEA 2023

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA BELUD : Pesilat negara, Nor Farah Mazlan,24, tidak mahu terlalu selesa dengan kejayaan yang diperolehi dan berazam mahu terus mencuba dengan lebih baik dalam pertandingan akan datang.

Anak jati Kampung Taun Gusi itu berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam Kejohanan Dunia Pencak Silat 2022 yang diadakan di Melaka baru-baru ini selepas berjaya menewaskan pesaing dari Singapura, Nadhrah Sahrin dengan keputusan 25-23 sekali gus merebut gelaran juara dalam kategori Kelas F Puteri.

“Gembira, namun saya ingatkan diri saya supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan ini dan berazam untuk terus mencipta kejayaan yang lebih besar.

“Sebelum ini saya terpaksa berehat lebih setahun kerana mengalami kecederaan ketika menjalani latihan seawal tahun 2018 selain pandemik COVID-19 yang turut mengekang sebarang aktiviti latihan,” katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, selepas sembuh sepenuhnya, dia menjalani latihan intensif dua bulan sebelum kejohanan dijalankan.

“Saya menjalani latihan intensif selama dua bulan sebelum kejohanan di bawah kendalian Cikgu Mazlan Shaari, Cikgu Hamidah Mulok dan seorang jurulatih baharu Cikgu Ahmad Wardi Salim di Bukit Jalil sebelum kami pindah ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Selepas ini, saya sasarkan untuk bertanding dalam Kejohanan World Beach Pencak Silat pada bulan Disember di Filipina dan juga Sukan SEA 2023 di Kemboja,” katanya.

Sementara itu rakan, Mohammad Amiruddin Adzmi, 35, dari Kampung Menunggui terpaksa berpuas hati apabila merangkul pingat gangsa dalam kejohanan sama bagi Kategori Lelaki Kelas H, selepas tewas kepada pesilat Vietnam, Nguyen Duy Tuyen 56-12 di peringkat separuh akhir.

Tidak berputus asa, Mohammad Amiruddin juga bertekad untuk memperbaiki permainannya sebagai persiapan menyertai kejohanan pada masa akan datang.

“Kekurangan yang perlu saya perbaiki seperti teknik tangkapan, jatuhan, tendangan dan untuk menajamkan teknik ini bukan senang, perlu makan masa bertahun baru boleh jadi sempurna.

“Saya pun ingin merasa dapat pingat emas dan selepas ini, saya akan buat lebih baik lagi pada Kejohanan World Beach Pencak Silat 2022 dan Sukan SEA 2023 nanti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Sukan

Lebih 1,500 meriahkan HSN daerah Putatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular