Sektor Agromakanan terus diperkasa menerusi DAN 2.0

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

SERDANG : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memberi fokus kepada usaha pemodenan sektor agromakanan dalam mentransformasikan sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, DAN 2.0 memfokuskan kepada pendekatan baharu berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.

Katanya, usaha berterusan MAFI ini akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara di samping memacu pertumbuhan ekonomi demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Dalam hal ini, semua pemain industri yang terlibat dalam industri padi dan beras memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan teknologi dapat diadaptasi ke arah peningkatan produktiviti hasil padi khususnya di Kawasan Muda.

“Dianggarkan seramai hampir 3,000 orang pembekal perkhidmatan mekanisasi dan automasi yang berdaftar telah dan sedang memainkan peranan yang penting dalam usaha memperluaskan penggunaan mekanisasi dan automasi di Kawasan Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Agricultural Service Provider (MASPRO) di Kluster Agro Lifestyle Dewan D-2 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Ronald berkata, pembekal perkhidmatan mekanisasi dan automasi ini berperanan penting dalam menyokong aktiviti penanaman padi bermula dari fasa awal penanaman sehinggalah fasa terakhir iaitu pengurusan tuaian.

Justeru katanya, MADA telah memulakan inisiatif untuk menubuhkan kumpulan pembekal perkhidmatan di Kawasan Muda (MASPRO) bagi melahirkan pembekal perkhidmatan mekanisasi dan automasi yang profesional, bertauliah serta moden.

“Usaha ini juga menjadi salah satu alat jaringan Government to Business (G2B) yang dapat diaplikasikan di Kawasan Muda.

“G2B secara umumnya adalah salah satu model E-Government yang digunakan sebagai platform capaian maklumat setempat dan membolehkan komunikasi melalui platform digital,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, penubuhan MASPRO ini selaras dengan usaha MADA untuk memastikan peratusan pengeluaran beras negara dapat ditingkatkan melebihi 40 peratus dengan purata hasil kasar padi sebanyak 6.7 tan per hektar pada tahun 2025 sekaligus menyokong usaha Kerajaan dalam mencapai sasaran 75 peratus SSL pengeluaran beras negara menjelang tahun 2025.

“Melalui kursus dan program bimbingan MASPRO berkaitan mekanisasi dan automasi, diharap inisiatif ini juga akan membantu pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Kawasan Muda bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara.

“Semoga dengan usaha yang murni ini, MAFI bersama-sama dengan MADA akan dapat terus memacu sektor pertanian di Kawasan Muda ke arah yang lebih sistematik, moden dan cemerlang agar sekuriti makanan negara sentiasa terjamin,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *