HomeUtamaIsu keselamatan siber isu penting perlu diberi perhatian serius - Abdul...

Isu keselamatan siber isu penting perlu diberi perhatian serius – Abdul Halim

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Isu keselamatan siber adalah antara isu penting yang perlu diberi perhatian serius susulan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman berkata, saban tahun, jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel telah meningkat hampir sekali ganda.

Katanya, pada tahun 2021, bilangan kes jenayah siber telah meningkat kepada lebih 20,000 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM560 juta berbanding 13,000 kes dan kerugian berjumlah RM539 juta yang telah direkodkan pada 2019.

“Justeru, keselamatan siber yang kukuh adalah amat penting di saat Negara menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana IR4.0 ini bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital dan sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.

“Di kala kita bergerak ke hadapan dan hidup dengan teknologi di mana bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2022
Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Halim, banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengari dalam tempoh sedekad yang lalu. Pada masa yang sama, landskap keselamatan negara ketika ini berubah dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.

“Ini adalah antara cabaran terbesar dalam memastikan pertahanan dan keselamatan Negara dan Sasaran Penting terjamin,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Oleh itu, dalam usaha Negara membangunkan diri sebagai sebuah negara yang dipacu ekonomi digital, kita perlu mengenalpasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada Sasaran Penting dan sektor ekonomi secara amnya.

“Keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini adalah amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan Sasaran Penting di negara ini.

“Ianya adalah penting untuk Pemilik / Penghuni Sasaran Penting untuk sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga dan diberi kawalan keselamatan yang sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri,” katanya.

Seminar itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan selaku Setiausaha Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP) Rahimi Ismail, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN), Setiausaha-Setiausaha Sasaran Penting Negeri (JSPN) dan Pemilik / Penghuni Sasaran Penting.

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS taja kos pendidikan anak Sabah lebih RM25 juta sehingga Oktober...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular