HomeIsu tempatanSeminar teliti tingkah laku masyarakat semasa pandemik COVID-19

Seminar teliti tingkah laku masyarakat semasa pandemik COVID-19

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Seminar Eksplorasi Pengetahuan dan Tingkah Laku (SEPT-COVID19) 2022, di sini hari ini.

Seminar tersebut bertujuan membincangkan dapatan kajian dan rumusan tentang perspektif dan tingkah laku masyarakat terhadap kehidupan semasa pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Institute Development Studies (IDS), Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, penyelidikan memainkan peranan penting dalam menambahkan pengetahuan sekali gus membimbing manusia untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

Katanya, penerokaan idea dan ilmu baharu daripada hasil penyelidikan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat khususnya di negeri Sabah.

“Kerajaan melalui agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri peka kepada ekosistem yang kondusif dalam menggalakkan lebih banyak penyelidikan bagi penghasilan pengkalan data khusus berkaitan dengan pandemik COVID-19.

“Saya percaya, terdapat cabaran berkaitan pasca pandemik melalui era endemik yang perlu ditangani oleh penyelidik-penyelidik bidang sains sosial dan kemanusiaan,” katanya.

Tambah Ramzah, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik di universiti dan masyarakat perlu dilaksanakan untuk meningkatkan keterlihatan maklumat berkaitan gaya hidup, persepsi dan maklum balas masyarakat terhadap dasar kerajaan terutama berkaitan dengan kesihatan awam dan perubatan secara umum.

“Saya menaruh sepenuh keyakinan dan impian bahawa acara hari ini akan dapat menggalakkan kerjasama, percambahan serta penggunaan ilmu oleh pelbagai pihak secara berterusan.

“Ini dapat dilakukan melalui perkongsian maklumat strategik agensi kerajaan, pengalaman orang awam dan amalan terbaik dalam kalangan penyelidik, kerjasama berterusan oleh ahli-ahli masyarakat dan juga semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Dekan FSSK Profesor Madya Dr. Asmady Idris berkata penganjuran seminar tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan situasi negara menuju ke arah fasa endemik.

“Seminar ini bukan sekadar untuk melihat dapatan kajian, malah ianya penting untuk membuka ruang perbincangan antara peserta dan menghasilkan satu dapatan secara ilmiah dan saintifik yang dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya.

Seminar yang dijalankan secara maya itu membentangkan 10 kertas kerja merangkumi pelbagai cabang bidang sains sosial dan kemanusiaan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

FPSK UMS ke Indonesia fokus kerjasama akademik, klinikal serantau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular