Mayat wanita mula reput ditemui dalam pondok usang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Satu mayat wanita ditemui dalam keadaan mula mereput di dalam sebuah pondok usang di belakang Stesyen Minyak Petronas Kg Tebobon Jalan Tuaran, Menggatal dekat sini pada jam 10.15 pagi tadi. ( 11 Ogos)

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima panggilan MERS 999 dari seorang pengadu dikenali Aaronly Rex melaporkan mengenai kejadian tersebut pagi tadi.

“Pegawai bertugas bersama anggota penyelia Balai Polis Menggatal serta pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kepayan (IPK) Sabah bertindak ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati bahawa satu mayat dalam lingkungan umur 50’an ditemui dipercayai adalah seorang perempuan berdasarkan bentuk fizikalnya dan dalam keadaan terbaring di dalam pondok usang dalam kawasan semak yang terletak lebih kurang 500 meter belakang Stesen Minyak Petronas, Kg Tebobon , Jalan Tuaran, Mengatal.

“Keadaan mayat ditemui telah mereput di bahagian tangan, kepala, kaki dan perut telah mula kembung. Siasatan lanjut berdasarkan keadaan mayat oleh pihak pegawai perubatan dan pihak Forensik IPK Sabah mendapati kematian berlaku dipercayai melebihi tiga hari,” kata Zaidi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaidi, permeriksaan yang dibuat di lokasi serta sekitar beberapa meter dari tempat kejadian tiada sebarang unsur perbuatan yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

Sementara itu, Zaidi berkata, temubual awal ke atas beberapa penduduk sekitar dipercayai kawasan perumahan setinggan yang dihuni warga asing sukar mendapat kerjasama, kesemuanya menyatakan tidak mengenali mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bahagian Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu bagi pemeriksaan ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.

Bagaimanapun, siasatan diteruskan untuk mengetahui identiti dan keluarga mangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *