Jadikan Semporna Bandar Bersih Tarik Pelancong Seluruh Dunia – Masidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

BERNAMA

SEMPORNA : Jadikan Semporna sebagai sebuah bandar yang bersih bagi menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata Semporna sememangnya terkenal seluruh dunia kerana memiliki pulau-pulau cantik serta khazanah marin yang unik, namun tanpa kebersihan yang dijaga baik ia tidak akan mampu kekal sebagai tarikan untuk sektor pelancongan di negeri itu.

Katanya rakyat Semporna dan Sabah sendiri akan memperoleh manfaat terutama dari segi sosioekonomi apabila sektor pelancongan dapat dimajukan dan memberi contoh Palawan yang merupakan bandar terbersih di Filipina mampu menarik ramai pelancong seterusnya memberi manfaat kepada penduduknya.

“Kalau bersih lebih ramai pelancong akan datang ke daerah ini. Tidak mustahil untuk capai Semporna sebagai antara bandar terbersih di dunia jika semua pihak bekerjasama menjaga kebersihan Semporna sama ada di lautan mahupun daratan.

“Kalau sayang daerah kita, sayang Semporna, sayang bangsa kita, ubah sikap, kita perlu jadikan matlamat untuk memastikan Semporna itu paling bersih di dunia,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Perkhidmatan Pemungutan Sampah di perairan Semporna di sini semalam.

Masidi berkata selain kutipan sampah, usaha seperti penanaman bunga di tepi jalan dan memperkenal program bagi menaikkan semangat cintakan kebersihan dalam kalangan penduduk mampu mendorong kepada sikap menjaga kebersihan di daerah itu.

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu, beliau berkata Projek Perkhidmatan Pemungutan Sampah itu akan lebih berkesan dengan penglibatan masyarakat sendiri termasuk komuniti Pala’u di kawasan tersebut.

Sementara itu wakil pengurusan Amwil Deslen Management and Supplies, syarikat yang menjalankan perkhidmatan itu, Lionor Malik berkata pihaknya memulakan operasi perkhidmatan pemungutan sampah sejak November tahun lepas.

“Sebanyak sembilan bot digunakan dan setiap hari lebih 1 tan metrik sampah dapat dikumpul. Kami juga menyediakan perangkap sampah yang dipasang di pusat tumpuan pelancongan termasuk jeti pelancongan,” katanya sambil menambah operasi memungut sampah dijalankan mulai 8 pagi sehingga 4 petang.

Di samping itu, menurut Lionor pihaknya juga membeli sampah yang boleh dikitar semula daripada penduduk dengan harga 20 sen bagi satu kilogram sampah dan orang ramai boleh menghantarnya di pusat pengumpulan syarikat itu di Kampung Sri Aman, Simunul di sini. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *