Polis Semporna gagalkan cubaan seludup minyak masak ke negara jiran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

SEMPORNA: Pasukan polis Semporna berjaya merampas sebanyak 4, 250 paket minyak masak dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam satu serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kebun Bunga, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pada 12 Ogos 2022 jam lebih kurang 3 pagi tadi bertempat di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kebun Bunga, Semporna, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah bilik dipercayai stor penyimpanan barang kawalan.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut mendapati sebanyak 250 kotak minyak masak dan setiap kotak terbabit masing-masing mengandungi 17 paket minyak masak disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Supt Mohd Farhan, hasil pemeriksaan juga percaya bahawa bilik stor terbabit telah dijadikan sebagai tempat mengumpul dan menyimpan barang kawalan berjadual sebelum diseludup keluar dari negara ini untuk pasaran luar.

Seterusnya pasukan serbuan telah merampas kesemua minyak masak dari dalam bilik stor tersebut dan dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan lanjut mengikut akta kawalan bekalan 1961.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10,625.00.

Supt Mohd Farhan turut menasihatkan kepada orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihak polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang terkawal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *