Pekerja asing tambahan dibenarkan bagi industri sarang burung walet – Ronald

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

SERDANG: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pengambilan pekerja asing tambahan bagi industri sarang burung walet berdasarkan kapasiti pengeluaran tahunan sesebuah syarikat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kebenaran itu adalah khusus bagi pemprosesan sarang burung walet mentah bersih yang bertujuan bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi industri berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kebenaran itu diberikan bergantung kepada syarat pengambilan pekerja asing yang berkuatkuasa selain syarikat perlu terlebih dahulu mesti berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Sehingga 31 Disember 2021, industri ini telah menggaji seramai 2,213 pekerja yang meliputi 1,073 pekerja tempatan dan 1,140 pekerja asing.

“Berdasarkan senarai permohonan yang diterima daripada pihak industri, sektor ini memerlukan tambahan pekerja lebih daripada 2,000 orang lagi.

“Sekiranya industri ini terus kekurangan pekerja, ia bakal memberi kesan kepada kuantiti dan kualiti produk yang dihasilkan dan secara tidak langsung boleh menjejaskan eksport sarang burung walet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem MyWalet bagi industri sarang burung walet Malaysia di sini hari ini.

Ronald berkata, sebagai pelan jangka panjang, pihak Kementerian bersama pemain-pemain industri akan terus merangka program-program peningkatan kemahiran pekerja tempatan.

Katanya, ia adalah bagi menarik minat mereka untuk bekerja dalam industri ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Sementara itu, Ronald berkata, MAFI melalui DVS akan terus membentuk kerjasama yang mantap serta perkongsian teknologi dan maklumat pemasaran bersama pemain-pemain industri.

Justeru itu katanya, DVS telah melancarkan Sistem MyWalet yang merupakan sistem pendaftaran bagi sepanjang rantaian industri sarang burung walet dalam negara bermula daripada perladangan sarang burung walet sehingga ke peringkat eksport.

“Oleh itu, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan penggunaan tenologi berasaskan IR4.0, sistem MyWalet ini menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan sistem ini lebih selamat dan mesra pengguna khususnya bagi pengusaha walet seluruh negara.

“Sistem MyWalet ini menggunakan pendekatan secara atas talian sepenuhnya, bermula daripada proses permohonan sehingga ke kelulusan permohonan oleh DVS,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan sistem MyWalet ini mencapai objektifnya, DVS telah bekerjasama dengan persatuan industri perusahaan dan pengeksport sarang burung walet bermula daripada peringkat pembangunan sistem dari awal tahun 2019 sehingga sistem ini dibangunkan dengan jayanya.

“Saya berharap agar Sistem Mywalet ini terus berjaya dalam memastikan mutu kualiti serta keselamatan produk sarang burung walet terjamin sekaligus mempergiatkan lagi usaha semua pihak meningkatkan potensi produk sarang burung walet kepada pasaran lebih luas,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *