Dua bot nelayan tempatan ditahan lakukan pelbagai kesalahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot nelayan tempatan yang menggunakan kru warganegara asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah di dua kedudukan berbeza sekitar perairan Pulau Mengalum di sini pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot pertama berjaya ditahan sekitar jam 8.50 pagi dikedudukan sekitar 8.4 batu nautika tenggara Pulau Mengalum.

Katanya, pemeriksaan ke atas tekong beserta kru mendapati empat kru warga Indonesia berusia antara 23 hingga 42 tahun serta dua orang kru etnik bajau laut berusia antara 17 hingga 25 telah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.

“Pemeriksaan ke atas bot kedua pula dilakukan lebih kurang  jam 9.20 pagi dikedudukan sekitar 8.5 batu nautika tenggara.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat orang kru termasuk tekong warga Indonesia berusia antara 22 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati pemilik bot berkenaan gagal memaklumkan penukaran nakhoda kepada Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot nelayan tersebut telah diiringi masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah.

Katanya, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1956/6 serta Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mengingatkan kepada komuniti maritim untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa agar sebarang perlakuan jenayah terutamanya di laut dapat dikekang sepenuhnya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *