Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan hampir sejam apabila jarinya tersangkut pada kereta mainan dalam satu kejadian di Kampung Likas dekat sini pagi tadi. (13 Ogos)
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.10 pagi tadi.
“Seorang pegawai bersama anggota dari Balai Bomba Lintas bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun jarinya tersangkut pada kereta mainan.
“Tindakan pasukan Bomba berjaya mengeluarkan jari kanak-kanak tersebut dengan selamat menggunakan peralatan khas,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pemeriksaan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan seterusnya operasi selama kira-kira 20 minit itu ditamatkan pada jam 11:34 pagi.