PM: Kerajaan akan bincang cadangan eksport semula ayam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

SERDANG – Kerajaan akan membincangkan cadangan untuk membenarkan semula eksport ayam ke luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan permohonan daripada penternak yang mahu kerajaan mengkaji semula larangan eksport itu.

https://fb.watch/eTlrweVPo4/

“Kita akan bincang dan kalau rasa kita boleh benarkan eskport, dan dari segi bekalan dalam negara tidak berkurangan kerana eksport itu, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk semak semula (larangan eksport).

“Ini sedang dibincangkan dan akan dibentangkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee secara terperinci, berapakah jumlah pengeluaran ayam untuk bulan depan. Adakah akan memberi kesan kalau kita lepaskan (benarkan) eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan akan melihat kepentingan semua pihak supaya sebarang keputusan yang diambil mengenai eksport ayam,
supaya tidak akan memberi kesan kepada rakyat,

“Saya percaya unjuran pengeluaran ayam itu akan dapat dibentangkan oleh MAFI minggu depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan barangan yang telah turun harga serta barangan yang masih belum turun harga.

“Ini bertujuan membolehkan kerajaan memberi fokus untuk usaha menurunkan harga barang bagi menjamin keselesaan rakyat,” katanya.

Ketika mengulas mengenai kebocoran data peribadi yang didedah syarikat penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88 Sdn Bhd, Ismail Sabri berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Ini kerana terdapat beberapa cadangan suruh buat RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan macam-macam. Kita akan bawa ke Kabinet kerana perkara itu perkara besar,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *