Kim Swee mahu pastikan Sabah FC capai matlamat yang diinginkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC bertekad mahu terus mengekalkan prestasi dan rentak permainan dalam saingan Liga Super musim ini bagi memastikan pasukan itu berada pada landasan yang betul seterusnya mencapai matlamat yang diinginkan.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, para pemain skuad Badak juga diingatkan agar kekal fokus dan tidak mengambil mudah dengan mana-mana pasukan.

Katanya, pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman malam esok turut dilihat sebagai perlawanan penting bagi memastikan Sabah FC dapat mengukuhkan kedudukan di carta liga.

“Kita tidak boleh mengambil kira apa yang telah berlaku sebelum ini walaupun kita berjaya menewaskan Kedah tempoh hari di Kota Kinabalu tetapi itu merupakan jangkamasa yang cukup lama lebih-lebih lagi pasukan Kedah yang baru terkeluar daripada peringkat separuh akhir Piala AFC.

“Sudah pasti pemain-pemain mereka ingin membuktikan di liga yang mereka masih lagi mampu bersaing dan saya percaya pasukan Kedah juga merupakan antara pasukan yang terbaik di dalam liga kita.

“Kita juga tidak boleh memikirkan tentang apa juga perkara yang akan berlaku selepas ini terutamanya kita tahu Negeri Sembilan berada di belakang kita dan kita harus kekalkan prestasi dan momentum dalam setiap perlawanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kim Swee berkata, para pemain juga perlu sentiasa mengekalkan konsisten dalam setiap permainan bagi mendapatkan mata.

“Ini penting bagi memastikan di penghujung liga nanti kita berada dalam landasan betul untuk mencapai matlamat kita,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata, para pemainnya juga tidak boleh mengambil mudah dengan mana-mana pasukan sekalipun baik pasukan teratas liga mahupun pasukan yang terbawah di liga.

“Kita harus sentiasa mengekalkan corak permainan yang kita telah buktikan sebelum ini dan komitmen setiap pemain sama ada bermain ataupun berada di bangku simpanan ataupun berada di luar senarai harus mempunyai mentaliti yang cukup tinggi bagi memastikan kita layak ke peringkat yang lebih baik,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *