Anak buruh ladang capai keputusan cemerlang peperiksaan SMU KBT 2021

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 2 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kesusahan hidup bukan penghalang buat anak seorang pekerja buruh ladang sawit di Kunak antara pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) 2021 yang baru diumumkan di sini, hari ini. (16 Ogos)

Chairul Amrie Rudy, 17, dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Tahfiz, Kunak antara sembilan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang (Mumtaz) dalam peperiksaan SMU KBT 2021.

Chairul anak ke-5 dari enam orang adik beradik berkata, beliau bukan dilahirkan dari kalangan orang senang, dengan itu kesusahan hidup yang dialami menguatkan lagi semangatnya untuk terus berusaha demi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik.

“Walaupun bapa saya hanya bekerja sebagai seorang buruh di ladang sawit, saya tidak menjadikan kesusahan kehidupan keluarga kami sebagai alasan untuk saya tidak belajar bersungguh-sungguh, alhamdulillah, terima kasih kepada kedua ibubapa saya kerana turut memberi semangat untuk saya mencapai kecemerlangan bukan hanya setakat ini tetapi sehingga saya capai cita-cita saya,”katanya.

Keputusan Mumtaz yang diperolehi Chairul merangkumi subjek Hafazan, Tajwid dan Qiraat manakala tiga subjek lain memperolehi keputusan Jayyid Jiddan.

Ditanya mengenai cara pembelajaran sehingga mencapai ke tahap itu, Chairul berkata, beliau banyak mengulangkaji pelajaraan pada awal pagi iaitu selepas solat subuh. Selain belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan sekelas.

“Paling penting kita sentiasa berinteraksi dengan guru-guru mengenai subjek-subjek yang kita ingin tahu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU Tahun 2021 di Dewan Saadah, Wisma MUIS hari ini.

Dalam pada itu, Chairul yang bercita-cita menjadi seorang pendakwah berkata, cara pembelajaran bersemuka adalah lebih baik kerana melalui pembelajaran dalam talian (online) adalah sukar disebabkan capaian internet di rumahnya sangat lemah, keadaan sukar ini semasa pembelajaran dari rumah terpaksa dilaksanakan disebabkan pendemik Covid-19 melanda pada tahun lalu.

“Saya tidak pasti mungkin disebabkan kami tinggal jauh di dalam ladang dan liputan internet di sana sangat lemah,” katanya.

Sementara itu, seramai sembilan pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Menengah Ugama Tahun 2021 iaitu lima dari pelajar Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan empat pelajar Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, lima pelajar (KBD) memperoleh keputusan cemerlang iaitu empat pelajar dari SM Islamiah Tawau iaitu Nur Damia Hasanuddin, Dayang Noraini Raimee, Farzana Nur Haziyah Daud dan Saudah Salamat serta seorang pelajar dari SMAN Toh Puan Hajah Rahmah Muhammad Siddiq Akmal Sabdin manakala empat pelajar (KBT) dari SMAN Tahfiz Kunak iaitu Muhammad Rujhan Bambang Muhamad Rafadi Yusoff, Chairul Amrie Rudy, Nadzratul Insyirah Muhammad dan Anis Sofiah Hayudin.

Keseluruhannya, seramai 376 calon menduduki SMU dari lima Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan sebuah Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan (SABK).

Sekolah-sekolah tersebut iaitu SMAN Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut, SMAN Islamiah Papar, SMAN Tambunan, SMAN Beaufort, SMAN Keningau dan SABK Islamiah Tawau.

Menurut Arifin, secara keseluruhan, prestasi keputusan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Ugama bagi tahun 2021 terdapat sedikit penurunan berbanding tahun 2020. Peratus kelulusan Peperiksaan Sijil Menengah Ugama 2021 ialah 89.09 %, menurun 0.33% berbanding 89.42% pada tahun 2020.

“Penurunan ini tidak signifikan atas beberapa sebab luar jangka melibatkan Pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Negara. Namun perlu ada usaha para pelajar dan guru untuk meningkatkan prestasi di masa hadapan,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan dan jabatan sentiasa komited dan beriltizam untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di semua sekolah JHEAINS dan akan terus berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran, infrastruktur, prasarana serta latihan keguruan kepada semua guru bagi membina kecekapan (efficiency) dan memastikan keberkesanan (effectiveness) proses pendidikan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *