KOPDESA berjaya raih anugerah Koperasi Kluster Mikro

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Koperasi Pembangunan Desa Saradan Tenghilan Berhad (KOPDESA) berjaya membawa pulang anugerah bagi kategori Koperasi Kluster Mikro, menerusi program Anugerah Lestari Modal Insan Koperasi 2022.

Penganugerahan yang berlangsung di Dewan Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam merupakan antara pengisian ‘Malam Jalinan Mesra Inspirasi Mencipta Aspirasi Bersama 100 Koperasi Terbaik’, sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi Di Malaysia.

Majlis penuh gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar.

Kejayaan itu turut menyaksikan KOPDESA menerima hadiah wang sejumlah RM10,000.

Pengerusi KOPDESA, Ireline Damit berkata, anugerah tersebut merupakan kejayaan bersama semua ahli, atas semangat dan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada KOPDESA.

Katanya, KOPDESA merupakan antara 100 Koperasi terbaik yang telah diberi peluang menghadiri Bicara Ketua Eksekutif Persona Mencipta Jaya pada 15 Ogos 2022, di Mandarin Oriental Hotel Kuala Lumpur anjuran IKMa Malaysia.

Dalam pada itu, Penaung KOPDESA, Datuk Jahid Jahim turut mengucapkan tahniah kepada KOPDESA atas kejayaan tersebut.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada warga KOPDESA atas pengiktirafan ini. Walaupun masih dianggap baharu, KOPDESA telah memperlihatkan potensi tinggi untuk maju ke hadapan.

“Teruskan kesatuan, niat, usaha, kebersamaan dalam kalangan ahli, saya yakin KOPDESA akan terus berada di arus perdana dan membwa manfaat kepada semua ahli dan komuniti, teruskan kecemerlangan, dan kebersamaan membawa berkat,” katanya.

Selain Ireline, KOPDESA turut diwakili Bendahari KOPDESA, Yatau@Azman Ubin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *