KOTA KINABALU: Satu kemalangan melibatkan sebuah keretapi penumpang Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) bertembung dengan dua buah kenderaan mengakibatkan perlanggaran berlaku dalam satu kejadian berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian kemalangan tersebut.
Menurut Mohd Zaidi, kemalangan berlaku kira-kira jam 3 petang semalam (18 Ogos) melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo dan sebuah lori enam tan.
“Keretapi penumpang yang bergerak dari arah Papar ke Kota Kinabalu manakala kedua-dua kenderaan berkenaan bergerak dari arah Luyang menuju ke KKIA.
“Bagaimanapun, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kemalangan berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan,” katanya.