Pelaksanaan pelan JENDELA di Sabah mencapai tahap 70 peratus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

SEPANGGAR: Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi Fasa Pertama (2020-2022) di negeri ini kini telah mencapai tahap 70 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, pihaknya berharap Pelan JENDELA itu akan dapat dilengkapkan sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

“Jika pelan ini selesai nanti, sebanyak 90 peratus dari seluruh kawasan di Sabah akan mendapat perkhidmatan jalur lebar, namun masih ada 10 peratus lagi kelompongan.

“Tetapi kita tidak akan membiarkan 10 peratus ini terbiar begitu sahaja, kita telah berusaha dan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022 peringkat daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, bagi kawasan pedalaman negeri yang belum terlibat dengan pelaksanaan pelan JENDELA, Kerajaan telah memasang ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) yang menggunakan signal dari satelit.

Beliau yakin dan percaya dengan usaha yang dilaksanakan Kerajaan akan dapat memberi perkhidmatan jalur lebar 100 peratus di seluruh Sabah.

Terdahulu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.7 bilion di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 (2020-2022) dengan sebahagian daripadanya negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion.

Peruntukan berkenaan termasuk pembinaan menara baharu, menaik taraf menara kepada 4G, penyediaan gentian optik ke premis, dan penyediaan jalur lebar satelit.

Melalui Pelan JENDELA di Sabah, sebanyak 607 menara baharu akan dibina untuk meluaskan liputan 4G di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sehingga 31 Januari lepas, sebanyak 119 menara siap dilaksanakan.

Sebanyak 3,738 stesen pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G untuk meningkatkan kualiti liputan kepada pengguna. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *