Pelaksanaan LPB sentiasa titik berat keselamatan pengguna

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sentiasa menitik beratkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terutama ketika pembinaan sedang giat dijalankan di seluruh Sabah.

Ketua Penolong Pengarah Sektor LPB Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, ini termasuklah melaksanakan kempen kesedaran keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya.

“Dengan mengambil inisiatif ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan berterusan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak polis serta pihak pelaksana projek bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

“Di samping itu, saya juga mengharapkan agar pengguna jalan raya terus menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan bendera yang diagihkan semasa kempen dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Kibar Bendera sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di sini hari ini.

Kempen itu merupakan anjuran JKR dibawah Sektor LPB bersama Pihak Perunding Pengurusan Projek (PMC) dengan sokongan JPJ dan polis.

Kempen yang di jalankan secara berperingkat selama sebulan yang di adakan disepanjang jajaran projek LPB Sabah ini bermula semalam di Pakej Kerja 7, Menaiktaraf Jalan dari Inanam ke Sepanggar dan seterusnya akan di jalankan di Pakej Kerja 3 Menaiktaraf jalan dari Beaufort ke Bongawan dan akan berakhir pada 10 September 2022 di pakej kerja 27, Menaiktaraf Jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32.

Mohd Shamsul berkata, objektif utama kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan menitik beratkan aspek keselamatan di jalan raya terutamanya di kawasan pembinaan projek LPB.

Katanya, di samping itu, ianya merupakan sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun.

“Kempen ini juga bertujuan untuk menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Sabah di pelbagai peringkat, hebahan mesej kenegaraan dan menggalakkan orang awam mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Bendera adalah wadah yang menggambarkan imej sesebuah negara dan melekatkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri pada kenderaan akan menzahirkan semangat cintakan negara dan perpaduan selaras dengan tema Hari Kebangsan dan Hari Malaysia 2022 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’,” katanya.

Dalam kempen tersebut, turut diagihkan beg cenderahati daripada jawatankuasa pelaksana dan kumpulan Petronas yang mengandungi kit risalah keselamatan, tema hari kebangsaan dan Hari Malaysia 2022,pelekat reflektif keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *