PNS, Hospital Beaufort zahirkan Bulan Kebangsaan melalui derma darah

Read Time:1 Minute, 10 Second

BEAUFORT : Sebanyak 46 beg darah berjaya dikumpul dalam satu program derma darah yang diadakan bersempena Bulan Kebangsaan 2022 di sini pagi tadi.

Program anjuran bersama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) cawangan Beaufort dan Hospital Daerah Beaufort itu turut melibatkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan program berkenaan termasuk sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort.

Hospital Beaufort dalam satu kenyataan berkata, program itu merupakan inisiatif PNS cawangan Beaufort dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara khususnya bagi menyambut sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada tahun ini.

“Selain derma darah, pembukaan kaunter pemeriksaan mata secara percuma dari Klinik Mata Beaufort serta pembukaan kaunter promosi kesihatan turut diadakan.

“Program ini turut diserikan dengan pengisian program-progam lain seperti lawatan sambil belajar dari Kolej Vokasional Beaufort dan program kraftangan yang mana pengunjung boleh mereka sendiri kraftangan manik berdasar kreativiti dan idea pengunjung,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, melalui pendermaan darah, setiap individu akan terdidik untuk berkongsi selain sikap membantu kepada yang memerlukan.

Katanya, pendermaan darah juga akan dapat mencegah sikap individualistik dan mengukuhkan sikap prihatin yang melangkaui ras dan bangsa apabila darah didermakan tanpa mengenal siapa penerimanya seterusnya dapat menyelamatkan nyawa.

Hadir sama Ketua Cawangan PNS Cawangan Beaufort, Norhayati Mohd Yassin, Pegawai Perubatan Hospital Beaufort Dr.Mohd Fairul Azwan Mohd Hussin, Ketua Unit Patologi dan Transfusi Darah Hospital Beaufort, Nur Izyani Mohd Nazri dan Pengerusi Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort, Koh Chen Shiung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.