SMPENSA diperkenal memudahkan tadbir urus Kerajaan Negeri ke atas rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 16 Second

PUTRAJAYA: Sistem Maklumat Penduduk Negeri Sabah di Semenanjung Malaysia (SMPENSA) diperkenalkan agar urusan-urusan Kerajaan Negeri berkaitan dengan penduduk Sabah di Semenanjung Malaysia dapat dirangka dengan lebih efisien.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ianya bertujuan untuk memudahkan tadbir urus Kerajaan Negeri ke atas rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia.

Datuk Ir. Shahelmey Yahya

Katanya, ini juga bagi menambah baik sistem perkhidmatan yang sedia ada agar kesejahteraan rakyat terus terjaga.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum tentang isu-isu semasa yang dihadapi oleh rakyat Sabah bukan sahaja di Sabah tetapi juga yang berada di Semenanjung Malaysia.

“SMPENSA ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memudahkan pengurusan kebajikan rakyat Sabah khususnya yang berada di Semenanjung Malaysia.

“Melalui data-data yang ada akan memudahkan bantuan-bantuan berkaitan disalurkan agar kesejahteraan rakyat Sabah di Semenanjung tidak terabai” jelasnya.

Shahelmey berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra Menteri bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah di Semananjung Malaysia dan Majlis Pelancaran Sistem Maklumat Penduduk Negeri Sabah di Semenanjung Malaysia (SMPENSA) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menyeru rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia untuk memberi kerjasama dengan mendaftarkan maklumat diri di SMPENSA.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia untuk mendaftar di SMPENSA untuk Kita mendapat data yang lebih jelas” katanya.

SMPENSA boleh dilayari di laman sesawang https://smpensa.sabah.gov.my/

Semasa majlis ramah mesra tersebut, sebanyak 15 NGO negeri Sabah di Semenanjung Malaysia hadir dan mengutarakan cadangan serta isu-isu semasa orang Sabah di Semenanjung Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.