Golongan belia perlu bijak rebut peluang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

PITAS : Rakyat di negeri ini khususnya golongan belia di daerah ini perlu bijak dan pantas merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Ruddy Awah berkata, ini kerana kerajaan negeri mahupun persekutuan sentiasa mengambil berat dengan pembangunan belia selain mengadakan pelbagai penganjuran program bagi tujuan tersebut.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Ruddy Awah

“Belia kita sememangnya agak jauh ketinggalan dari pelbagai aspek dan mereka tidak seharusnya tercicir daripada menikmati segala kemudahan sepertimana dinikmati belia di bandar lain.

“Oleh itu, mereka haruslah merebut peluang yang disediakan bagi memastikan mereka dapat menimba ilmu sebaik mungkin bagi menjamin masa depan yang lebih cemerlang dan tidak terus ketinggalan dari arus pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) Tahun 2022, di sini semalam.

Ruddy turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah kerana sentiasa peka dengan menganjurkan pelbagai program ini dan berharap semua belia yang hadir akan dapat terus memberikan manfaat serta membantu belia di daerah masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas turut mengharapkan pada tahun hadapan, daerah Pitas berpeluang untuk menganjurkan sendiri sambutan Hari Belia di daerah tersebut.

Sambutan Hari Belia Peringkat Pantai Barat Utara Tahun 2022 melibatkan empat daerah iaitu Pitas, Kota Belud, Kudat dan Kota Marudu yang dijayakan bersama Perbendaharaan Malaysia Sabah melalui perkhidmatan 18 agensi menyediakan kaunter Komuniti Bergerak (Mobile Community Services).

Turut hadir, Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Rafidah Datu Derin dan Penolong Pegawai Pentadbiran Daerah, Marck@Hassan Libau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *