Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar minyak petrol bersubsidi

Read Time:1 Minute, 20 Second

LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, di sini pada jam 3.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, penahanan dibuat selepas menerima maklumat awam berkaitan berlaku aktiviti mencurigakan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem.

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat untuk melakukan pemeriksaan dan serbuan.

“Hasil serbuan melalui laut dan darat telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga asing dari Filipina berusia diantara 20 hingga 70 tahun.

“Semasa serbuan, kesemua suspek didapati sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dan dipercayai bertujuan untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, pemeriksaan ke atas dokumentasi bot kargo mendapati bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol.

Katanya, sebuah bot kargo, sebuah lori bersama 40 tong drum dengan anggaran minyak petrol berjumlah 8,000 liter turut dirampas.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM286,400. Kesemua suspek bersama barang rampasan ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd Rizam berkata, Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah diperairan Lahad Datu.

Katanya, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam ditalian 089-885727 atau MERS 999.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.