RM1 juta Bantuan Awal Pendidikan JPKM beri manfaat 28,415 pelajar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Seramai 107 orang pelajar di daerah ini yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) merupakan antara 28,415 pelajar yang mendapat manfaat daripada RM1 juta Bantuan Awal Pendidikan yang telah diagihkan menerusi Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM).

Program JPKM Peringkat Parlimen Putatan dan Kota Kinabalu dilancarkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Kumpulan Yayasan Sabah.

Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri Dato’ Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad berkata, Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi Mencari, Mengenal dan Membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan SPM tahun 2016 – 2021 yang merupakan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan dari segi kewangan diseluruh negara.

““Saya sentiasa mengharapkan pihak-pihak lain akan turut memberi sokongan dan bekerjasama menjayakan serta membantu membangunkan masa depan anak-anak Sabah serta seluruh anak Keluarga Malaysia kita.

“Saya percaya, dengan adanya program seperti Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekaligus menjadikan bidang pendidikan pemangkin utama dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran tinggi seperti mana negara maju yang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis pelancaran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Majlis turut diadakan penyerahan surat tawaran kemasukan belajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Bantuan Awal Pendidikan kepada penerima yang terdiri daripada anak-anak Putatan yang layak.

Sebanyak 25 kaunter pameran melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institusi Kemahiran Tinggi dan rakan strategik lain mengikuti JPKM 2022 pada kali ini termasuk GIATMARA, Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej FELCRA, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Universiti Antarabangsa UNITAR.

Manakala, antara Universiti Awam yang turut serta adalah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM) dan lain -lain.

Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 (JPKM) merupakan inisiatif dan projek khas Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali berkata, sepanjang siri JPKM ini berlangsung, sejumlah RM1 juta telah diagihkan dan disalurkan menerusi Bantuan Awal Pendidikan JPKM yang telah memanfaatkan seramai 1,700 pelajar yang layak di negeri ini daripada jumlah keseluruhan 28,415 yang mendapat peluang ke Menara Gading.

“PRIHATIN melihat JPKM yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ini akan memberikan manfaat dengan menyediakan peluang kedua bagi anak-anak Keluarga Malaysia dalam mendapatkan tempat di IPT yang terpilih supaya mereka dapat mengubah destinasi masa hadapan yang lebih cemerlang,” katanya.

Majls turut dihadiri Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Ketua Daerah Putatan Datuk Mohd Dahali Matsin, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan Datuk Zaluzi Sulaiman dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Bank Rakyat Jeffry Nor Mohammed.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *