HomeIsu tempatanUIAM dinobatkan johan Debat Alam Sekitar antara IPT

UIAM dinobatkan johan Debat Alam Sekitar antara IPT

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU :  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya dinobatkan sebagai johan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022.

Pertandingan yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) KASA Noor Afifah Abdul Razak bagi mewakili Menteri Alam Sekitar dan Air Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada pertandingan itu juga, UMS selaku tuan rumah diumumkan sebagai pemenang naib johan manakala hadiah saguhati separuh akhir dimenangi oleh Universiri Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaya (UM).

Pertandingan debat yang telah bermula sejak 20 Ogos yang lalu menyaksikan sejumlah 26 pasukan daripada 26 buah IPT bersaing untuk melayakkan dan mendapatkan tempat ke pusingan akhir.

UIAM yang dibarisi tiga pendebat iaitu Muhammad Wafi Anwar Roslan, Anis Afina Hassan Sanusi dan Muhammad Ilham Hafiz Azmi pulang dengan hadiah piala pusingan, wang tunai RM8,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Muhammad Wafi Anwar Roslan turut dinobat sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan akhir ini manakala Pendebat Terbaik Liga dimenangi oleh Abdullah Nudin dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Terdahulu, Noor Afifah ketika membacakan teks ucapan Tuan Ibrahim berkata, masyarakat diseru untuk lebih peka dan sensitif akan keseimbangan alam bagi memastikan kelestarian alam di negara ini dapat terus terjaga dengan sempurna.

Katanya, setiap masyarakat mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama bagi menangani isu kerosakan akibat bencana alam kesan daripada pemanasan global.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kelestarian alam.

“Antaranya ialah program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) serta penganjuran aktiviti KUDAH iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah di kawasan komuniti masing-masing.

“Aktiviti yang dirancang di bawah program DSK ini ialah pembinaan laluan denai di sepanjang jajaran sungai, kolam atau badan air sebagai kawasan riadah dan rekreasi. KASA mensasarkan sepanjang 10,000 kilometer denai menjelang 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Katanya, dengan menggunakan pendekatan nature-based solution, program ini dijalankan secara bersama antara KASA, jabatan-jabatan serta agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Selain itu juga, kerjasama strategik turut dijalankan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), badan-badan korporat, institusi pengajian tinggi, sekolah, pemimpin masyarakat, komuniti setempat dan pemimpin belia.

“Saya yakin, usaha-usaha pelestarian ini tidak terbatas oleh masa, tempat dan juga individu. Sebaliknya setiap daripada kita boleh memulakan dan melaksanakannya dengan pelbagai cara yang tersendiri.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama kita menyokong usaha yang digerakkan oleh KASA dan agensi-agensi di bawahnya terutamanya oleh Jabatan Alam Sekitar untuk terus melestarikan alam sekitar demi bumi yang hanya satu ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

28 Hafiz, Hafizah sertai kategori hafazan pada MTHQNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya