Wanita cedera ditumbuk, ditekup hingga pengsan sebelum disamun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KUALA LUMPUR — Seorang wanita menempuh detik cemas apabila mukanya ditumbuk bertubi-tubi serta ditekup mulut sehingga pengsan dalam insiden samun di sebuah pangsapuri di Jalan Metro Perdana Kepong di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa berusia 28 tahun mengalami pendarahan hidung serta bengkak di bahagian muka selepas dicederakan oleh seorang suspek lelaki.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati, mangsa sedang berjalan keluar dari lif namun, secara tiba-tiba terdapat seorang lelaki menunggunya di hadapan pintu lif.

Menurutnya, suspek bertindak menekup muka dan menarik mangsa sehingga ke tepi tangga serta menumbuk muka wanita itu bertubi-tubi sehingga menyebabkan pendarahan hidung dan bengkak bahagian muka.

“Suspek kemudiannya bertindak menekup mulut mangsa sehingga pengsan dan telah membawa lari wang tunai miliknya bernilai RM150.

“Berikutan itu, mangsa mendapatkan rawatan dan ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur. Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kesan bengkak di bahagian muka dan pendarahan dalam kedua-dua belah mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, bertindak atas siasatan kurang tempoh 24 jam, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 35 tahun pukul 4 petang semalam, dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, suspek yang juga warga tempatan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencingnya didapati negatif.

Katanya, suspek direman lima hari sehingga 1 September depan untuk membantu siasatan kes dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *