Program Jualan Murah Keluarga Malaysia diperluas ke 73 DUN Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) diperluaskan ke setiap kawasan 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, sebelum ini pelaksanaan PJMKM hanya tertumpu di setiap kawasan Parlimen sahaja namun bermula 15 Ogos lalu PJMKM ini dijalankan dan diperluaskan di setiap kawasan 73 DUN di negeri ini.

“Ini adalah tanda prihatin kerajaan dan inisiatif kerajaan dalam membantu menangani peningkatan kos sara hidup pengguna, jadi dengan adanya program ini ia dapat menawarkan penjimatan berbelanja sehingga 20 peratus.

“Program ini juga akan diadakan sebanyak empat kali dalam sebulan bermula pada 15 Ogos sehingga Disember 2022 ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat Putatan di Pasar Raya Coop Mart, di sini hari ini.(29 Ogos)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku penganjur utama PJMKM dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti melalui Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah dan pejabat UPPM setiap DUN.

Tujuan utama PJMKM adalah menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian sehingga mencecah 20 peratus terhadap lapan jenis barangan keperluan seperti beras, tepung, telur, sayur-sayuran, buah-buahan, produk hasil laut dan sebagainya.

Shahelmey turut menggalakkan kepada para pengguna supaya mengambil peluang dalam PJMKM merancang perbelanjaaan secara bijak.

“saya menggalakkan pengguna yang ingin berbelanja keperluan harian mereka agar dilakukan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad kerana program PJMKM ini akan dilaksanakan empat kali sebulan di kawasan DUN masing-masing di kedai-kedai yang ada menyertai program ini.

“Pengguna yang ingin bebelanja lapan jenis barang keperluan seperti yang disebutkan, bolehlah merancang masa berbelanja pada waktu Program Jualan Murah Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah kerana berusaha dengan giat untuk memastikan bahawa pelancaran Program Jualan Murah Keluarga Malaysia peringkat kebangsaan dapat direalisasikan di negeri ini.

Dalam pada itu Shahelmey turut menegaskan sekiranya terdapat aduan peniaga yang sengaja menyorok barang keperluan, KPDNHEP sedang giat menjalankan anti sorok di mana mereka akan menjalankan sisasatan-siasatan di seluruh pelosok negara ini dari masa ke semasa.

“Pengguna juga harus menjalankan hak mereka sebagai pengguna sekiranya ada peniaga yang tidak beretika seperti ada peniaga menyorok atau menjual barangan melebihi had harga siling, sila laporkan kepada KPDNHEP dan KPDNHEP akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *