Tetap cekal,kuat semangat usahakan perniagaan untuk keluarga

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: “Bermula dengan lima balang pada 2016 dan hanya sekadar suka-suka pada ketika itu, kini kami bersyukur produk yang kami hasilkan telah memasuki pasaran di pasar raya terkenal di Sabah,” kata pengusaha sambal ikan masin, Mohd Jan Jamnu.

Mohd Jan yang menerima bantuan Skim Peneraju Usahawan Perikanan (SPUP) dibawah Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) itu mengusahakan sambal ikan masin jenama ‘Bang Muq’ bersama isterinya Shelly Abdul Nelly.

Katanya, bantuan SPUP berjumlah RM70,000 itu akan digunakan untuk menambah baik peralatan memproses sambal selain membuat pusingan modal perniagaan.

“Pada mulanya kami berniaga kerepek jejari dan popia bersalut coklat.  Disebabkan ingin mencuba produk lain, kami membuat sambal pada 2016 namun ketika itu hanya sekadar jualan kepada keluarga.

“Disebabkan permintaan sambal ini lebih tinggi permintaan, kami mengambil keputusan untuk lebih serius membuat pengeluaran produk pada November 2019 seterusnya memohon untuk Skim Pembangunan Industri Kecil Perikanan (PIKP) dibawah Ko-Nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan SPUP yang disampaikan Pengerusi Ko-Nelayan Mohd Arsad Bistari di sini hari ini.

Mohd Jan yang ketika ini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk tujuan pergerakan selepas mengalami tulang reput di bahagian kaki pada 2018 mengakui berdepan cabaran namun tetap cekal untuk meneruskan perniagaan yang diusahakan.

Katanya, bantuan PIKP yang diterimanya pada awal tahun 2020 sebanyak RM10,000 digunakan sebagai modal bagi membina kilang memproses selain modal pusingan untuk memulakan projek sambal berkenaan.

“Selepas menerima PIKP, pengeluaran ketika itu hanya 50 balang dan apabila permintaan meningkat, kami naikkan lagi kepada 600 hingga 700 balang sebulan dan pada 2022, jumlah itu terus meningkat kepada  2,500 balang sebulan.

“Saya mengusahakan sambal ini bersama isteri dan tiga lagi pekerja dimana kilang yang kami bina adalah bersebelahan dengan rumah saya di Tanjung Aru bagi mengurangkan kos selain memudahkan pergerakan harian saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jan berkata, bantuan skim yang disalurkan Ko-Nelayan itu diyakini akan dapat mengeluarkan lagi produk berkualiti tinggi selain mahu memasuki pasaran ke beberapa buah pasar raya di Sabah.

“Saya juga rasa bersyukur kerana isteri sentiasa memberi sokongan untuk saya terus kuat dalam perniagaan ini meskipun saya kurang upaya untuk bergerak,” katanya.

Katanya, produk sambal itu pada mulanya menggunakan nama anaknya yang berusia enam tahun iaitu sambal D’Dhiya namun terpaksa diubah kepada sambal ikan masin Bang Muq untuk tujuan pendaftaran produk di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *