HomeUtamaKemiskinan bukan penghalang untuk berjaya - Masidi

Kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya – Masidi

Read Time:2 Minute, 36 Second

RANAU: “Pertemuan pada hari ini memperingatkan semua kita bahawa bukan semua keluarga bernasib baik dan mempunyai kemampuan segalanya. Masih ramai keluarga yang menjalani kehidupan yang susah, miskin dan tidak berkemampuan menyekolahkan anak-anak,” kata Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Merangkap Menteri Kewangan II Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

“Namun demikian kemiskinan bukanlah penghalang untuk kita terus maju dalam bidang pelajaran dan kerjaya yang kita ceburi. Kita harus merubah sikap dan minda dengan menganggap bahawa segala masalah dan cabaran dalam hidup itu sebagai satu kekuatan dan semangat untuk menjadikan ia sebab utama mengapa kita harus keluar dari kepompong kemisikinan,” tambahnya.

Masidi berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Transformasi Daerah (DTP): Hari Terbuka PPD Ranau, di sini, pada Sabtu.

Katanya, melihat kepada bentuk muka bumi di daerah Ranau yang berbukit bukau, masih ada kawasan khususnya di luar pekan kurang kemudahan yang menyukarkan warga pendidik dan para pelajar berada di sekolah termasuklah laluan ke sekolah.

“Sungguhpun demikian, masyarakat di daerah ini tetap berbangga kerana walaupun dengan keterbatasan kemudahan yang ada namun di antara daerah yang banyak menjana dan mengeluarkan graduan paling ramai adalah daerah Ranau.

“Kita bertuah kerana dilahirkan di daerah ini. Kesukaran kehidupan keluarga menjadikan kita lebih bugar dan bermaya untuk memastikan kejayaan dan kerjaya kita tercapai. Ini harus menjadi falsafah setiap kita terutama sekali golongan pendidik di daerah ini,” jelasnya.

Beliau juga turut berharap masyarakat di Daerah Ranau khususnya terus cemerlang dalam pelajaran.

“Saya ingin melihat orang Ranau bersaing secara sihat untuk menjadikan daerah ini terus cemerlang dalam pelajaran. Jangan kita tumpukan 90 peratus masa kita untuk mengurus 10 peratus perbezaan tetapi marilah kita tumpukan 90 peratus masa kita untuk memperbaiki dan juga memperhebatkan persamaan di kalangan kita. ni yang harus menjadi prinsip kehidupan setiap kita jika kita benar-benar ikhlas ingin melihat kemajuan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kebetulan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kelima di Sabah berpusat di Ranau. Ia menjadi suatu kelebihan daerah itu untuk menjadikan MRSM sebagai pusat menjana idea-idea baharu untuk anak-anak agar mereka dapat dipupuk dan menunjukkan bakat dalam bidang baharu.

Justeru itu selaras dengan Fasa 2 transformasi pendidikan, Masidi menyeru semua warga pendidik di daerah itu untuk terus melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti agar terus berada di kedudukan terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Dua syarat utama iaitu lakukan transformasi dengan melahirkan lebih ramai lepasan sekolah yang berjaya ke menara gading seterusnya berjaya menjadi bakal graduan yang berkualiti dan laku di pasaran serta sentiasa berkolaborasi bagaimana mencemerlangkan pendidikan,” ujarnya.

Terdahulu, Masidi diiring Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan (Menanggung Kerja Pegawai Pendidikan Daerah), Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Foo Lee Yen melawat pameran pendidikan Kluster Sekolah, Kluster Pembelajaran, Kluster Sukan, Kluster Kokurikulum & Kesenian, Kluster HEM, Kluster Perkhidmatan Digital, Kluster Perkhidmatan Pengurusan dan Kaunter Khidmat Pelanggan Perbankan di luar perkarangan bangunan Kompleks Kerajaan Persekutuan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penolong Pengarah Unit Perancangan Dan Pembangunan Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jumaiah Memun, Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani, Timbalan PPD Sektor Pengurusan Sekolah, Suhilin Hadi, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Vincent Sabin, Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid, Sandy Kariki @ Gerald, Pengerusi PPSMS Ranau, Marcus Shafie dan Pengerusi MGB Ranau, Micheal Pakang.

RELATED ARTICLES
Utama

Hujan lebat tahap waspada di 5 negeri hingga Jumaat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular