HomeUtamaBangunan baharu SCENIC bakal memacu industri kreatif dan teknologi Sabah

Bangunan baharu SCENIC bakal memacu industri kreatif dan teknologi Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Bangunan baharu Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) diharap akan dapat membantu meningkatkan lagi tahap kesedaran mengenai program teknologi dan kreativiti khususnya di negeri ini.

Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni berkata, bangunan itu adalah untuk digunakan sebagai tempat biasa kepada semua orang.

“Ia adalah untuk semua rakyat Sabah untuk datang bersama memulakan perbincangan dan kolaborasi yang berpotensi.

“Bangunan ini adalah milik rakyat Sabah dan kita mahu penginovasi, pencipta, pemimpin dan pemula unicorn pada masa depan dihasilkan dari pusat ini.

“Sehubungan itu, saya mahu mempelawa pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor, sama ada kerajaan, korporat, institusi pendidikan tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk datang dan memanfaatkan fasiliti di bangunan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bangunan baharu itu dirasmikan Setiausaha Tetap Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah Zainudin Aman.

Viviantie berkata, bangunan berkenaan terletak di RBF5, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang dilancarkan baru-baru ini turut menyediakan beberapa fasiliti.

Antaranya ialah ruang ‘networking’, bilik animasi, bilik audio, bilik kreatif, dewan acara, ruang ‘co-working’ dan ruang pencipta yang keseluruhannya boleh memuatkan sehingga 200 orang pada satu masa.

“Bangunan ini turut menyediakan peralatan teknologi terkini seperti komputer, pencetak 3D, perisian animasi, alat audio, video dan kamera,” katanya.

Bangunan itu juga akan memiliki pusat latihan Toon Boom bertauliah yang diletakkan di bawah penyeliaan Akademi Kreatif SCENIC.

Selain itu, bangunan SCENIC akan bekerjasama dengan pusat Digital IoT Sandbox yang diwujudkan di bangunan KSTI Sabah di Wisma Bandaraya, di sini.

Sementara itu, Zainudin berkata, Kabinet negeri meluluskan inisiatif SCENIC pada 16 Ogos 2019 dalam memandu ekonomi negeri melalui tiga teras, iaitu teknologi dan inovasi, kreatif serta keusahawanan berasaskan inovasi.

“Fasiliti ini (SCENIC) diwujudkan bagi memenuhi permintaan komuniti akar umbi untuk berkolaborasi bersama dan tidak ditinggalkan dalam aspek sains, teknologi dan inovasi.

“Dengan pelancaran bangunan ini, saya menjangkakan lebih banyak program akan dilaksanakan dan menghasilkan lebih ramai tenaga manusia.

“Kepada SCENIC, teruskan usaha dengan membantu lebih ramai rakyat Sabah dan membentuk satu ekosistem yang kukuh untuk membangunkan Sabah dalam banyak aspek dan perspektif,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah sinonim dengan perpaduan, keharmonian dalam meraikan perayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular