Sawit Kinabalu bayar dividen RM30 juta kepada Kerajaan Negeri

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Sawit Kinabalu membayar dividen berjumlah RM30 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 dan sebagai dividen interim untuk suku kedua tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu menyaksikan penyampaian dividen daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong di Menara Kinabalu dekat sini, hari ni.

Sawit Kinabalu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM350 juta tahun lepas.

Sejak 1996, Kumpulan Sawit Kinabalu telah membayar dividen berjumlah RM1.3 bilion kepada Kerajaan Negeri.

Hajiji turut memuji Kumpulan Sawit Kinabalu kerana melepasi sasaran keuntungan sebelum cukai sebanyak 222peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kumpulan Sawit Kinabalu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM220.16 juta berbanding sasaran RM99.11 juta berikutan lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) iaitu RM6,215 setan metrik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd

Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan pihak pengurusan bahawa harga MSM pada separuh kedua tahun ini dijangka turun kepada antara RM4,000/MT dan RM4,300/MT.

“Saya menyeru pihak pengurusan untuk mengambil tindakan proaktif dalam menangani cabaran dan juga peningkatan kos pengeluaran,” ujarnya.

Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan pengurusan kerana memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Rakan Pemuliharaan daripada Jabatan Perhutanan Negeri dan Penerima Jenama Dunia Anugerah Jenama Terbaik untuk Kecemerlangan Korporat dalam Minyak Sawit 2021-2022 baru-baru ini.

“Sawit Kinabalu ialah syarikat industri minyak sawit pertama di Sabah memenangi Anugerah Jenama Terbaik. ini menunjukkan bahawa Sawit Kinabalu berada di landasan yang betul dan saya berharap anugerah tersebut akan terus memotivasikan anda untuk bekerja lebih keras untuk memastikan Sawit Kinabalu terus meningkatkan produktiviti dan cemerlang,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang dan Timbalan Pengerusi Borneo Samudera Sdn Bhd Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.