Kejohanan sukan wadah pupuk budaya bersukan dikalangan murid sekolah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Penganjuran Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah kali ke-54 tahun ini merupakan wadah menyeluruh ke arah memupuk budaya bersukan dikalangan murid-murid sekolah.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, ia juga mampu menyemai semangat perpaduan selain dapat memberi pendedahan secara berterusan kepada para atlet terlibat.

“Pendedahan ini perlu berterusan dan dilaksanakan secara sistematik supaya impaknya nanti dapat dikecapi seterusnya bakal melahirkan para atlet yang hebat suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga MSS Sabah kali ke-54 di Stadium Likas di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Mansur Asun.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Tah Nia Jaman.

Ellron berkata, para atlet khususnya murid-murid yang terlibat dalam kejohanan itu merupakan permata yang perlu digilap bakat sukan mereka sehingga mampu menyinar dipersada lebih tinggi.

Katanya, negara kini juga sedang giat mengangkat bidang pembangunan sukan agar tidak berlaku ketandusan atlet yang diharapkan mampu membawa nama negara ke pelosok dunia.

“Sesungguhnya, akal yang sihat hadir  daripada badan yang cergas, kata-kata ini membuktikan bahawa betapa pentingnya  norma hidup kita ini di adaptasi  dengan aktiviti sukan, yang akhirnya akan mengharmonikan setiap perjalanan hidup kita,” katanya.

Kejohanan itu disertai sebanyak 24 buah pasukan yang mewakili 24 buah daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sabah.

Terdahulu, Tah Nia berkata JPNS telah berjaya mengungguli banyak kejohanan di peringkat kebangsaan sehingga mencapai kedudukan tempat keempat keseluruhan acara sukan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) secara dalam talian pada tahun 2021.

Katanya, di peringkat antarabangsa JPNS mempunyai murid yang berbakat besar seperti adik Brenda Anellia Larry yang menyumbang pingat emas dalam di Sukan Para ASEAN 2022 dalam acara renang 50 meter kuak lentang wanita.

“Sukan olahraga adalah merupakan antara aktiviti Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah merealisasikan hasrat murni negara untuk mencapai Visi Negara Maju dan Masyarakat Sihat.

“Oleh kerana itu penglibatan murid dalam aktiviti sukan perlu digalakan dan digilap sehingga ke peringkat berpotensi gemilang.

“Selain daripada itu Kementerian Pendidikan juga telah menetapkan wajaran markah 10 peratus PAJSK kepada semua murid dari aspek penglibatan, potensi serta kehadiran dalam aktiviti sukan dan ko-kurikulum sebagai syarat utama kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPTA),” katanya.

Oleh itu katanya, bagi mencapai potensi gemilang dalam kalangan murid-murid, sokongan padu dan menyeluruh serta bersungguh-sungguh daripada semua pihak khususnya murid-murid, guru-guru dan ibubapa adalah sangat signifikan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *