KENINGAU : Penganjuran program bagi mengangkat budaya Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) selain mengetengahkan aspek ekonomi, peragaan dan fesyen perlu terus diteruskan khususnya dalam melibatkan golongan muda.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, pengamalan warisan budaya dan adat tradisi kini dilihat semakin rapuh khususnya dalam kalangan anak muda berikutan kepesatan arus pemodenan.
“Justeru, usaha dan inisiatif melalui program seperti inilah saya yakinmampu memberi pendedahan sekali gusmemberi peluang kepada golongan muda untuk memahami keunikan warisan kebudayaan khususnya KDMR.
“Tambahan pula, pelaksanaan program atau aktiviti kebudayaan ini akan memberikan impak yang baik seterusnya memantapkan jati diri beliawan dan beliawanis muda khususnya di daerah ini seterusnya di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Miss Urban Couture di Dewan Masyarakat Keningau di sini kelmarin.
Ellron berkata, golongan muda juga perlu terus bergiat aktif dalam pertandingan seumpama ini.
Katanya, golongan muda juga perlu sentiasa mempelajari dan mengembangkan bakat selain mencari peluang dan ruang untuk mengembangkan bakat khususnya dalam bidang rekaan fesyen.
“Justeru itu, saya percaya pelaksanaan aktiviti yang berunsurkan kebudayaan di peringkat seumpama ini akan dapat memperkasakan warisan kebudayaan KDMR daripada hilang ditelan zaman seterusnya memartabatkan lagi warisan kebudayaan agar terus relevan di mata masyarakat dan warga umum khususnya,” katanya.