Kawasan lebih besar diperuntukkan untuk penanaman Rumpai Laut di Burst-Point, Sebatik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

TAWAU: Kerajaan Negeri bersetuju untuk pembesaran Zon Perindustrian Akuakultur (ZIA) dan akan memperuntukkan kawasan yang lebih besar untuk penanaman rumpai laut di Burst-Point, perairan Sebatik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu akan membantu untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di sini.

Dalam pada itu, Hajiji turut diberi taklimat oleh Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Azhar Kassim bahawa Tawau merupakan pengeluar rumpai laut kedua terbesar di negeri ini selepas Semporna.

Burst-Point yang berhadapan dengan Nunukan, Indonesia didapati paling sesuai untuk penanaman rumpai laut gred tinggi dan pada masa ini, kira-kira 3,000 ekar telah ditanam melibatkan 57 usahawan tempatan.

Sebanyak 314 tan metrik rumpai laut mengumpul hasil jualan kasar berjumlah RM2.4 juta telah dituai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Hajiji mengetuai rombongan yang dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Peguam Negara Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah Datuk Awang Shahminan Awang Sahari dan Pengarah Tanah dan Ukur Negeri, Datuk Bernard Liew ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia dekat sini hari ini.

Mengiringi beliau ialah Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah, DCP Haji Hamzah Ahmad, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Hajiji turut melawat pos keselamatan Pasukan Gerakan Am di Burst-Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu di mana beliau juga diberi taklimat mengenai isu keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *