HomeUtamaPusat SDG Negara ditubuh, perkasa dan pantau kemajuan SDG negara

Pusat SDG Negara ditubuh, perkasa dan pantau kemajuan SDG negara

Read Time:2 Minute, 16 Second

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju menubuhkan Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda pembangunan mampan itu memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak.

Katanya, ianya adalah bagi memastikan agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara buat julung kali sejak penubuhannya pada tahun 2016. Ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor iaitu sektor awam, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil yang membincangkan agenda pembangunan mampan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 serta akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), 2025-2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli-ahli majlis yang merangkumi Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-menteri Kanan dan Menteri-menteri Persekutuan, Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen.

Ismail Sabri berkata, pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).

Menurutnya, mesyuarat itu turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa peringkat global dan tempatan serta kemerosotan dalam pencapaian beberapa SDG negara ekoran impak negatif pandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.

“Malaysia telah membentangkan VNR pada tahun 2017 dan 2021 di Forum Politik Peringkat Tinggi Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (High Level Political Forum on Sustainable Development – UN HLPF) bagi memenuhi obligasi negara di peringkat global.

“VNR melaporkan secara inklusif kemajuan dan cabaran negara dalam pelaksanaan SDG di peringkat nasional,”katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri.

Katanya, sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.

“Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

“Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara.

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya