HomeUtamaPendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

Read Time:1 Minute, 58 Second

Putatan: Pendidikan yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah harus dijadikan teras bagi melahirkan modal insan untuk memperkasakan bangsa dan negara dalam mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia juga seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih maju dan cemerlang, sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, komitmen itu diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan dan latihan, pengupayaan sektor ekonomi serta pengukuhan hubungan, termasuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.

“Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat dan bernegara, manakala al-Quran, sebagai kitab suci umat Islam, memimpin ke arah penyatuan, kesatuan dan perpaduan ummah sebagai landasan menjayakan apa jua perancangan demi kemajuan negeri dan negara.

“Tidak akan tercapai kejayaan tanpa adanya perpaduan yang akan mensejahterakan ummah dan negara, justeru ukhuwah perlu dijalin untuk membentuk perpaduan. Untuk mengangkat citra bangsa dan keagungan agama, setiap umat Islam harus mempertahankan kesatuan dan memperkasakan perpaduan yang selama ini kita bina bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penangguhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah Tahun 1445H/2024H di Dewan Sri Putatan di sini mala mini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmy Yahya.

Hajiji berkata, dengan populasi yang terdiri daripada pelbagai bangsa, suku kaum dan kumpulan etnik, aktiviti positif memupuk dialog antara budaya dan agama, serta saling bekerjasama ke arah kemajuan dan kejayaan, sangat penting dan berupaya memperkukuhkan keharmonian kaum serta perpaduan rakyat.

Beliau turut mengajak semua pihak agar sentiasa menyedari dan menginsafi dalam menjalani hidup bermasyarakat terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum, persefahaman, permuafakatan dan saling hormat menghormati merupakan satu obligasi yang amat dituntut oleh agama.

Menurutnya, Al-Quran merupakan sumber rujukan bagi membangunkan  tamadun umat manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah Ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat.

“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memahami, mendalami dan menghayati setiap isi kandungan kitab suci al-Quran, kemudian mengaplikasikannya dalam kehidupan kita seharian,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran merupakan wadah terbaik dan platform bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab suci Al-Quran. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Negeri sokong penuh pindaan Ordinan Buruh Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya