35% Dividen Diberi Kepada Ahli KPSM Kota Marudu Berhad

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA MARUDU: Pekebun Kecil Sawit di Kota Marudu khususnya Ahli Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Kota Marudu Berhad Sabah (KPSM) bertuah kerana menerima dividen 35 peratus daripada KPSM.

Pengerusi KPSM Kota Marudu Berhad, Matuzal Timbuang berkata, KPSM mendapat keuntungan hasil daripada pengurusan KPSM yang baik dan keuntungan ini dikembalikan kepada semua ahli.

“Dividen ini tepat pada masanya sejajar desakan dan kekangan pandemik COVID-19 ketika ini. Lebih ramai lagi dijangka akan mendapat manfaat menerusi bantuan ini pada masa akan datang dan diharap lebih ramai lagi pekebun kecil sekitar Daerah Kota Marudu menyertai KPSM.

“Sudah tentu kami amat bersyukur pemberian dividen ini, sekurang-kurangnya koperasi kami adalah koperasi yang dapat memberi pulangan yang tinggi berbanding institusi yang lain. Harap ini dapat memberi semangat kepada semua ahli koperasi” jelas Matuzal.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) pada 21 November 2021, ahli lembaga koperasi sememangnya telah memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan perjalanan perniagaan koperasi berjalan lancar dan teratur.

Menurutnya, ahli koperasi amat berbesar hati dan gembira dengan pemberian dividen yang tinggi tersebut.

Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Kota Marudu Sabah Berhad telah ditubuhkan pada 28 Mac 2018 dan beroperasi Kg. Sumbilingon, Jalan Marak Parak Kota Marudu Sabah.

Penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan ini adalah sejajar dengan matlamat negara untuk mengeluarkan minyak sawit mampan yang mesra alam.

Penubuhan KPSM adalah inisiatif kerajaan untuk menyatukan pekebun kecil sawit individu di bawah satu payung supaya mereka boleh menjalankan aktiviti ke arah menjaga kepentingan bersama terutama dalam meningkatkan produktiviti kebun dan taraf sosio – ekonomi pekebun kecil.

Jualan kelompok BTS anggota KPSM merupakan aktiviti utama KPSM untuk meningkatkan pendapatan ahli. Pihak KPSM akan menawarkan harga BTS terbaik kepada anggota.

“Sebelum ini kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyediakan bantuan pembinaan pusat timbang serta pinjaman mudah tanpa faedah, dan yang terkini adalah bantuan pembelian jentera secara padanan,” tambah Matuzal lagi.

Dalam pada itu, ahli-ahli koperasi penanam sawit juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Awang Rusli Mohamad atas perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-2.

“Sebagai pengerusi KPSM, saya ingin merakamkan ucapan khas terima kasih kepada MPOB, SKM, barisan ALK dan semua anggota KPSM di atas usaha gigih mereka dalam memajukan koperasi sehingga berjaya memberi pulangan dividen yang tinggi kepada ahli secara keseluruhan”, kata Matuzal.

One thought on “35% Dividen Diberi Kepada Ahli KPSM Kota Marudu Berhad

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *