Reaksi KEPMAS Berkenaan Jual LTSAAS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Sabah dan Labuan (KEPMAS) meluahkan reaksi berkenaan kerajaan mahu menjual Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang kepada sebuah syarikat swasta, WCT Holdings.

Yang Dipertua, Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Sabah dan Labuan (KEPMAS) Jekeria Semat berkata dalam kenyataan medianya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang ini merupakan Warisan Negara dan harus menjadi milik rakyat dan bukannya pihak individu.

Menurutnya, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) juga telah memajukan kepada kerajaan iaitu kepada Perdana Menteri rancangan “Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang” atau “Subang Airport Regeneration Plan” selaras dengan Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Rancangan pembangunan ini adalah jauh lebih baik dari apa yang dicadangkan oleh Syarikat individu tertentu malah rancangan “Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang” oleh MAHB ianya akan memacu kepada beribu peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Seperti yang sedia maklum, LTSAAS diurus tadbir oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) iaitu sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham dan merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dimana majoriti sahamnya dimiliki oleh Khazanah, KWSP, Permodalan Nasional dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

“Apa jua keuntungan daripada perniagaan MAHB ini pulangannya adalah kepada rakyat dalam berbagai cara iaitu dividen ASB, KWSP dan sebagainya,”kata Jekeria.

Jekeria juga menegaskan bahawa Kesan pengambilan LTSAAS oleh pihak lain akan memberi kesan kepada rakyat dan negara, rakyat akan terus tertindas seperti kemungkinan pekerja LTSAAS yang ada sekarang yang rata-ratanya dulu bekas pekerja kerajaan dalam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) akan kehilangan pekerjaan atau retrenchment, mereka hilang keahlian sebagai ahli Kesatuan didalam MAHB yang selama ini kebajikan dan hak-hak mereka amat terjaga.

“Kami mendesak agar kerajaan menghentikan dengan segera kajian atau pertimbangan terhadap cadangan oleh pihak individu untuk mengambil alih LTSAAS dan sebaliknya meluluskan dengan segera rancangan “Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang” atau “Subang Airport Regeneration Plan” yang telah dikemukan oleh MAHB yang akan memberikan banyak manfaat kepada pembangunan ekonomi rakyat, bukan hanya mereka di Semenanjung malah kita di Sabah juga,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook (25 Jun) bahawa kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk menjual Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata, Kabinet juga setakat ini tidak membuat apa-apa keputusan untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta.

One thought on “Reaksi KEPMAS Berkenaan Jual LTSAAS

  1. Kami menyokong penuh KEPMAS. Kami juga akan terus berjuang mempertahankan LTSAAS Subang agar sentiasa bersama MAHB
    #SZBwithMAHBforever

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *