FAMA Sabah Sedia Khidmat Bantu Petani Pasar Hasil Pertanian

Read Time:1 Minute, 21 Second

15 Jun 2021
[email protected]

KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah telah membantu menyediakan khidmat penyimpanan sejuk dan pengangkutan bagi petani dan pemborong menyimpan serta mengangkut hasil tanaman ke destinasi pasaran mereka.

Pengarah FAMA Sabah Ribin Wahid berkata, khidmat yang diberikan itu adalah bagi memudahkan petani memasarkan hasil pertanian tanpa perlu keluar dari daerah masing-masing.

“Sehingga 12 Jun lalu, FAMA Sabah bersama rakan strategik pemasaran serta outlet pemasaran FAMA telah memasarkan sebanyak 350 tan hasil pertanian di negeri ini iaitu pada dua minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula awal bulan ini.

“Untuk membantu mempercepatkan pergerakan hasil pertanian dan meningkatkan harga di ladang ke paras lebih baik, minggu ini juga FAMA Sabah mula memasarkan kira-kira 100 tan Kobis Kundasang ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ribin berkata, kemudahan penyimpan sejuk terutama untuk pengeluar sayuran tanah tinggi Kundasang turut disediakan di Kompleks Pemasaran FAMA Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Telipok selain di Kundasang, Ranau.

Katanya, ketika ini sebanyak dua unit bilik sejuk disediakan di Kundasang dan akan ditambah degan menempatkan kontena berpendingin hawa jika pengeluaran sayuran meningkat.

“Semua kemudahan bilik sejuk yang kita sediakan ini mampu untuk menyimpan sebanyak 100 tan sayuran dalam satu masa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ribin berkata, FAMA Sabah turut menawarkan bantuan mengangkut hasil pertanian dari kawasan pengeluaran utama seperti Kundasang ke pasaran pengeluar seperti Sandakan, Lahad Datu dan Tawau di pantai timur ke Sindumin (pedalaman) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Khidmat logistik ditawarkan bagi mengatasi kesukaran petani dan pemborong mengangkut hasil pertanian ke destinasi pasaran mereka berikutan kekangan pergerakan disebabkan pelaksanaan PKP,”katanya.

One thought on “FAMA Sabah Sedia Khidmat Bantu Petani Pasar Hasil Pertanian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.