Zahir Rasa Cinta Negara Melalui Kibaran Jalur Gemilang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai disaran menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, langkah itu sebagai pencetus semangat  patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya di Sabah.

“Sempena bulan kebangsaan ini, kibaran Jalur Gemilang di rumah, pejabat mahupun di premis perniagaan dan kenderaan akan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

“Bagi sambutan kempen kibar Jalur Gemilang, Jabatan Penerangan Sabah melalui 25 daerah akan mengagihkan bendera kepada masyarakat untuk dikibarkan.

“Di samping itu, pelbagai program juga akan dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bagi memupuk rasa cinta negara seperti kempen komuniti merdeka, pidato kenegaraan dan pertandingan keceriaan yang dilaksanakan sehingga bulan September ini,” jelas beliau.  

Beliau ditemui media dalam Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian 2021 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), pada Sabtu.

Program tersebut merupakan anjuran bersama serta agensi di bawah KKMM iaitu Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ujar beliau, sepanjang sambutan bulan kebangsaan yang bermula 1 Ogos hingga 16 September, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui Info On Wheels (IOW) juga akan terus dilaksanakan di setiap daerah.

“Melalui IOW, JaPen bukan sahaja terlibat secara langsung dalam program jangkauan luar, malah medium ini juga akan digunakan untuk menyebarkan kempen tersebut seterusnya menanam semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah (RTM), Nor’ain Bakir dan wakil-wakil agensi KKMM. – Penerangan

One thought on “Zahir Rasa Cinta Negara Melalui Kibaran Jalur Gemilang

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *