HomeUtamaSemua pihak fokus bantu tangani masalah pandemik COVID-19

Semua pihak fokus bantu tangani masalah pandemik COVID-19

Read Time:1 Minute, 36 Second

TAWAU: Semua pihak di negara ini terutamanya di Sabah diminta untuk terus fokus membantu kerajaan menangani masalah pandemik COVID-19 yang masih belum pulih ketika ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan sedang berusaha menangani penularan wabak khususnya merancakkan program imunisasi di seluruh negara.

“Kita sepatutnya jangan terlalu beremosi dengan mempolitikkan semua isu yang ada sekarang sehingga tumpuan untuk menyelesaikan masalah pokok iaitu penularan wabak terabai.

“Saya berharap semua pihak terutamanya pemimpin politik samada daripada kerajaaan mahupun pembangkang bekerjasama untuk memastikan kita dapat keluar daripada kemelut wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan bakul makanan kepada 200 ketua isi rumah di lima lokaliti Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, di sini semalam.

Mengulas lanjut, semua rakyat mengharapkan pandemik ini dapat pulih dengan segera supaya boleh menjalani kehidupan normal seperti biasa.

“Ramai rakyat yang mengalami kesukaran hidup terutamanya mereka yang berada dalam kelompok B40, lebih-lebih lagi yang tidak dapat keluar bekerja.

“Sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang padu, imuniti kelompok dapat dicapai selewat-lewatnya pada bulan November ini,” katanya.

Memgulas mengenai program bantuan yang disampaikan itu, katanya ianya adalah sumbangan daripada Baitulmal negeri Sabah kepada penduduk di DUN Apas yang terjejas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata pihaknya mengharapkan lebih banyak lagi agensi kerajaan dan swasta yang tampil menghulurkan bantuan seperti ini.

“Bantuan daripada semua pihak dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka yang terjejas selama pandemik COVID-19 menular di negara ini,” katanya.

Menurutnya, semua penduduk di DUN Apas diminta untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak yang sudah berada dalam komuniti kita.

“Hanya ada dua cara sahaja ketika ini untuk memutuskan rantaian wabak iaitu patuhi SOP yang digariskan dan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Semoga dengan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan suntikan vaksin COVID-19, kita dapat capai imuniti kelompok 80 peratus dengan cepat, sekali gus keluar dari masalah ini,” katanya. – Utusan Borneo

RELATED ARTICLES
Utama

Letusan Gunung Ruang: Malaysia Airlines sambung semula beberapa penerbangan ke Sabah,...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya