HomeUtama13 Kek Dipersembah Sempena Hari Jadi Rasmi TYT Sabah Ke-68

13 Kek Dipersembah Sempena Hari Jadi Rasmi TYT Sabah Ke-68

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Sempena sambutan hari jadi rasmi ke-68 Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, 13 biji kek dipersembah di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.

Berucap pada majlis ringkas di Dewan Istiadat hari ini, Tun Juhar bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang.

Menurut beliau, semua kek tersebut akan diagihkan kepada rumah kebajikan, anak yatim dan rumah warga tua di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Pada majlis itu, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) mempersembahkan kek seberat 100 kilogram yang membentuk ikon kebanggaan rakyat Sabah iaitu Gunung Kinabalu dan Istana Seri Kinabalu hasil nukilan Chef Salfian Salleh.

Turut menarik perhatian, kek seberat 80 kg yang direka Chef Ismail Saidan dari Hotel Hyatt Regency, berkonsepkan hobi Tun Juhar berbentuk motosikal, piano, gitar serta sukan golf dan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Berbeza dengan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia yang mempersembahkan kek jenis hybrid gabungan unsur tradisional yang diperbuat dari pulut kuning di bahagian bawah dan unsur moden iaitu kek fondant berasaskan coklat pada bahagian atas.

Menurut Panglima Lima Divisyen, Mejar General Datuk Mohd Halim Khalid, pada bahagian atas kek tersebut diletakkan replika orang menarik suis penembak meriam yang mengambil tema aktiviti Tun Juhar ketika di Lapang sasar Kem Paradise Kota Belud dan seterusnya dijelmakan dalam bentuk gambar.

Tidak ketinggalan, Markas Pemerintah Armada Timur dengan kek fondant dan kek span seberat 10 kg yang disiapkan dalam masa tiga hari.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen (PDRM) Sabah pula mempersembahkan kek seberat 10 kg berbentuk uniform PDRM serta topi yang disiapkan dalam masa tiga hari oleh Chef Almie Mohd Ali dan pasukannya.

Turut mempersembahkan kek masing-masing ialah Le Meridien Hotel, Shang La’s Rasa Ria Resort, Sutera Harbour, The Palace Kota Kinabalu, Dreamtel Kota Kinabalu, North Borneo University College, Horizon Hotel dan Promenade Hotel. – PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya