HomeUtamaHasrat warga emas cipta rekod pendakian Gunung Kinabalu tercapai selepas tertangguh tiga...

Hasrat warga emas cipta rekod pendakian Gunung Kinabalu tercapai selepas tertangguh tiga kali

Read Time:2 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Hasrat seorang warga emas untuk mencipta rekod individu tertua di Malaysia mendaki Gunung Kinabalu akhirnya tercapai selepas tiga kali tertangguh sejak dua tahun yang lalu.

Pesara kerajaan Negeri, Buatin Blandong yang berusia 90 tahun itu turut ditemani empat orang anaknya serta cucu dan beberapa lagi rakan lain yang turut sama dalam pendakian yang bermula di Timpohon Gate Taman Kinabalu pada Ahad lalu.

Buatin Blandong (dua kiri) bersama empat orang anaknya

Anaknya, Doris Buatin @ Griselda berkata, kali terakhir ayahnya mendaki Gunung Kinabalu adalah pada usia 83 tahun iaitu sebulan sebelum kejadian gempa bumi pada 2015 yang lalu.

Katanya, pada ketika itu, ayahnya telah menyuarakan hasrat untuk membuat pendakian sebelum usianya mencecah 90 tahun dan menyasarkan ingin mendaki pada tahun 2020.

“Sebenarnya rancangan pendakian ini sudah dirancang pada 2020 sebelum pandemik kerana kakak saya pada ketika itu berada di Australia dan akan pulang pada Mei 2020 namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac 2020 maka rancangan itu terpaksa ditangguhkan.

Buatin Blandong bersama malim gunung Atat dan Esit ketika berada di Puncak Gunung Kinabalu

“Sekali lagi kami merancang untuk mendaki pada tahun lalu, namun aktiviti pendakian masih belum dibenarkan kerana PKP pada ketika ini. Hasrat itu tetap kami teruskan pada tahun ini dimana pada Mei lalu kami belum mendapat slot pendakian.

“Selepas tiga kali tertangguh, akhirnya kami berjaya mendapat slot pendakian pada bulan ini iaitu pada Ahad lalu dimana pendakian dari Timpohon Gate bermula jam 9.40 pagi dan sampai kira-kira 8.16 malam di Laban Rata,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.

Doris berkata, pendakian ke Laban Rata agak mencabar berikutan cuaca hujan lebat menyebabkan pergerakan bapanya agak perlahan namun semangatnya untuk meneruskan pendakian tetap tinggi dan turut mendapat sokongan semangat dari anak, cucu dan malim gunung.

Kumpulan pendakian Buatin Blandong ketika berada di Laban Rata

Katanya, kumpulan pendakian bapanya dan keluarga serta rakannya itu berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu pada jam 2.15 petang Isnin lalu.

“Sebaik sampai dipuncak Gunung Kinabalu, ayah saya sangat gembira apabila sudah sampai dan sekali lagi dia menyuarakan hasrat mahu mendaki jika staminanya masih kuat pada masa akan datang. Saya dan adik beradik lain tidak mampu berkata apa lagi.

“Ayah saya mempunyai impian, diam mahu buat apa yang masih dia mampu lakukan.  Usia bukan menjadi faktor.  Apa yang penting kami melihat semangat dia sangat tinggi,” katanya.

Video pendakian ayahnya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila menjadi individu tertua di Malaysia mendaki Gunung Kinabalu.

, Buatin Blandong bersama ahli kumpulan pendakian ketika di puncak Gunung Kinabalu

Ketika menceritakan sesi latihan pendakian ayahnya, Doris berkata, ayahnya akan mencari lokasi sesuai untuk membuat pendakian bukit di beberapa buah bukit pendakian yang popular sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, latihan pendakian bukit akan dilakukan sebanyak tiga hingga empat kali seminggu selain turut menjaga pemakanan dan mengambil suplimen pemakanan bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik.

“Dari segi kesihatan, dia tidak mempunyai masalah kesihatan.  Pada Khamis lalu sebelum pendakian, pemeriksaan kesihatan termasuk jantung semua masih kuat, kami percaya ini semua dari pemakanan yang diambil oleh beliau.

“Saya pula tidak mempunyai rancangan untuk mendaki, tetapi disebabkan  mahu memberi sokongan kepada ayah yang mahu memecahkan rekod pendakian pada usia 90 tahun, saya ambil keputusan pada Julai lalu untuk turut serta mendaki.

“Persediaan saya cuma menaiki tangga pejabat setinggi empat tingkat setiap hari dan pada hujung minggu saya membuat pendakian bukit di Bukit Kopungit,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular