HomeUtamaCadangan tutup Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur ? ini respon mereka

Cadangan tutup Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur ? ini respon mereka

Read Time:2 Minute, 2 Second

CYBERJAYA — Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengesahkan bahawa ia komited untuk menyokong peralihan tanggungjawab terhadap pelarian dan pencari suaka kepada kerajaan.

Apabila diminta memberi maklum balas mengenai cadangan penutupan pejabat UNHCR di Malaysia, agensi PBB itu berkata ia mengalu-alukan libat urus dan usaha berterusan kerajaan ke arah menyelesaikan isu-isu berhubung perlindungan pelarian katanya seperti yang dilaporkan oleh portal FMT

Jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur, Yante Ismail berkata, perbincangan dengan kerajaan mengenai rangka kerja kerjasama untuk menguruskan pelarian telah berlangsung selama beberapa tahun menerusi pasukan petugas yang dipengerusikan bersama oleh agensi itu dan Kementerian Luar.

“Ini termasuk isu-isu yang dibangkitkan oleh ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti perkongsian data maklumat pelarian, pendaftaran bersama dengan kerajaan, saringan pencari suaka, dan akses kepada kerja guaman.

“Perbincangan ini khususnya telah digiatkan sejak 2019, dengan mesyuarat terbaru diadakan awal bulan ini,” katanya.

Yante berkata, perlindungan pelarian terutamanya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi disokong oleh masyarakat antarabangsa, masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti pelarian.

Dengan ketiadaan rangka kerja di peringkat kebangsaan, beliau berkata, UNHCR telah mengambil alih proses-proses berhubung perlindungan dan bantuan pelarian bagi pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, seperti yang dibincangkan dengan kerajaan, UNHCR kekal komited untuk menyokong peralihan tanggungjawab yang bermakna dan beransur-ansur kepada kerajaan.

“Pengalaman global telah menunjukkan, membangunkan sistem pemprosesan pelarian peringkat kebangsaan selaras dengan prinsip perlindungan antarabangsa mengambil masa bertahun-tahun dan melibatkan rundingan dan pembinaan kapasiti yang meluas.

“Berita positifnya adalah kerajaan Malaysia sudah mula mengambil langkah awal ini,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Pengarah MKN Rodzi Md Saad mencadangkan agar pejabat UNHCR di Malaysia ditutup bagi membolehkan kerajaan menguruskan pelarian di negara ini tanpa campur tangan luar.

Rodzi menuduh agensi PBB itu mengeluarkan kad UNHCR tanpa merujuk kepada pihak berkuasa negara terlebih dahulu, dengan berkata tindakan itu menunjukkan sikap tidak hormat.

Kenyataannya itu mendapat kritikan daripada NGO dan penggubal undang-undang daripada blok pembangkang, dan kerajaan persekutuan diminta menyatakan pendiriannya mengenai kehadiran UNHCR di Malaysia.

Yante berkata, UNHCR telah menerima delegasi daripada pelbagai kementerian dan agensi sejak beberapa tahun lepas untuk membolehkan mereka memerhati prosesnya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini memberitahu pemegang kad UNHCR di Malaysia untuk mendaftar dengan Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS), yang dibangunkan untuk memantau keberadaan mereka.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, mereka yang berdaftar dengan TRIS akan diberikan kad pengenalan dipanggil MyRC, dan akan dipertimbangkan untuk akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan dan latihan dalam pembinaan, pembuatan dan beberapa sektor lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular