Jelajah ANMS-SMJ bantu promosi kesejahteraan kesihatan rakyat, budayakan hidup sihat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Konsep Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) yang membabitkan perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Sabah dilihat tepat pada masanya dalam mempromosikan kesejahteraan kesihatan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ANMS merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan yang bertujuan bagi membudayakan hidup sihat dan melestarikan persekitaran bagi menyokong kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Beliau turut menyokong pelaksanaan ANMS yang dilihat seiring dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kerana ia dapat menyemarakkan dan merakyatkan agenda kerajaan secara meluas di semua lapisan masyarakat.

“Matlamat atau objektif ANMS ini adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat, dari aspek fizikal dan mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih.

“Objektif ANMS ini seiring dengan Hala Tuju SMJ yang bukan hanya memfokuskan kepada pembangunan ekonomi menerusi sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan tetapi juga kepada modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Gabungan konsep ANMS-SMJ ini adalah tepat pada masanya. Untuk membangunkan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan di Negeri Sabah kita memerlukan rakyat yang sihat bukan sahaja dari aspek fizikal malah mempunyai kesejahteraan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah ANMS-SMJ peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Sehubungan itu Hajiji berkata, bagi menjayakan Hala Tuju SMJ, ia memerlukan anggota perkhidmatan awam atau swasta yang sihat dan mempunyai kesihatan mental yang baik.

“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Sabah agar membudayakan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, bijak menangani stres, tidak merokok dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

“Saya juga menyeru rakyat negeri ini agar tampil melakukan saringan kesihatan terutama kepada mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas. Ini adalah penting untuk kebaikan kita sendiri,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *