HomeUtamaKes bunuh diri dalam negara meningkat 81 peratus tahun lalu

Kes bunuh diri dalam negara meningkat 81 peratus tahun lalu

Read Time:3 Minute, 20 Second

KUALA LUMPUR: Kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020.

Jumlah itu adalah berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang turut melaporkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus komited mendidik dan melatih masyarakat berhubung masalah kesihatan mental, pencegahan tingkah laku bunuh diri serta menghapuskan stigma terhadap tingkah laku itu.

“Dengan usaha itu, kita berharap individu yang terkesan akan mendapat bantuan dan sokongan, seterusnya dapat menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.

“Faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri ini adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2022, hari ini.

Beliau berkata, tema tahun ini adalah ‘Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina’, yang menumpukan pada peranan masyarakat untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dan membantu menambah baik kualiti hidup individu yang terkesan. 

Khairy turut berkongsi data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang melaporkan lebih daripada 703,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia, atau purata satu kematian bagi setiap 40 saat.

“Bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun. 

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan akan terkesan serta mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

“Tindakan segera secara bersama amat penting di setiap peringkat bagi menangani tingkah laku bunuh diri, membabitkan individu, keluarga, komuniti, pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, ahli politik, semua agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Khairy berkata, KKM proaktif menangani isu tingkah laku bunuh diri, melalui Pelaksanaan Usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri bagi menggalakkan mereka yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.

“KKM juga menyediakan Memorandum Moratorium dan sudah dibentangkan di peringkat Majlis Jemaah Menteri pada September 2021. Buat masa ini, memorandum terbabit di bawah tanggungjawab Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Inisiatif lain adalah Pembangunan Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan (NSFIRM), yang dijangka akan beroperasi pada tahun depan. Sistem ini membolehkan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri diperoleh yang membolehkan usaha pencegahan secara bersasar dapat dilaksanakan,” katanya. 

Katanya, KKM juga melaksanakan sesi libat urus dengan pihak PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam pelaksanaan Latihan Pencegahan Bunuh Diri kepada first responders (orang pertama) bagi meningkatkan kemahiran pengendalian kes tingkah laku bunuh diri.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, KKM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkasakan Program Minda Sihat Sekolah, yang mana antara lain merujuk pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah kemurungan dan tingkah laku bunuh diri ke fasiliti kesihatan untuk rawatan.

“KKM juga menjalankan kempen advokasi Kempen Let’s TALK Minda Sihat kepada kumpulan sasar, secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu, termasuk membabitkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“KKM juga mengambil inisiatif untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) iaitu pusat yang menempatkan perkhidmatan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia, masyarakat boleh memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dalam pelbagai cara. 

“Ia termasuk dengan sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar keluarga serta orang sekeliling terutama yang terkesan akibat situasi pandemik COVID -19. 

“Selain itu, masyarakat perlu mengenal pasti tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.

“Masyarakat juga perlu menghapuskan stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pengamal media dapat membantu meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kesihatan mental dan kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri.

Pada masa sama, beliau berkata, sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri tidak wajar dimuat naik ke dalam media sosial.

RELATED ARTICLES
Utama

Laluan berhampiran Menara Kinabalu ditutup sebahagian 31 Disember ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular