PTPTN laksana CSR bantu pelajar asnaf mulakan tabungan pendidikan tinggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan sumbangan sebanyak RM250,000 kepada 25 kawasan di negeri Sabah bagi melaksanakan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN 2022.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang bertujuan membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

Katanya, menerusi sumbangan yang disalurkan itu, setiap kawasan di negeri ini akan diperuntukkan sebanyak RM10,000.

“Program ini akan melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,200 orang pelajar asnaf di 172 kawasan terpilih di 11 buah negeri.  Sumbangan ini akan diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.72 juta.

“Program ini juga telah mula dilaksanakan di negeri Terengganu pada 8 September lalu dan Sabah merupakan negeri kedua dilaksanakan seterusnya akan turut diadakan di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sarapan Pagi Menu Keluarga Malaysia dan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2202 negeri Sabah di sini semalam.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan.

Noraini berkata, menerusi program itu juga, seramai 100 orang pelajar asnaf di setiap kawasan akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.

Katanya, program itu juga akan  diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pemimpin setempat.

“Saya yakin dan percaya, program murni seumpama ini akan dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Inilah bukti usaha-usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat memartabatkan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, dalam usaha untuk mengatasi dan mengurangkan beban rakyat terutamanya anak-anak pelajar, Kerajaan telah memperkenalkan ‘Menu Keluarga Malaysia’ di premis jualan makanan di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai alternatif bagi golongan sasar mendapatkan hidangan pada harga berpatutan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan universiti yang telah menyokong usaha kerajaan ini. Saya difahamkan pelaksanaan Menu Keluarga Malaysia RM 3.50 di semua kafeteria Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah kampus Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari telah bermula 15 Julai 2022.

“Hasil daripada inisiatif ini, seramai 13,179 pelajar UMS (4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan) telah mendapat manfaatnya. 

“Namun, inisiatif ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada para pengusaha kafeteria,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *