HomeUtamaHala Tuju SMJ di landasan betul, Sabah terima pelaburan asing terbesar di...

Hala Tuju SMJ di landasan betul, Sabah terima pelaburan asing terbesar di Malaysia

Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia jelas apabila Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion berdasarkan laporan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga September 2022.

Katanya, ia sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

“Justeru, kita akan terus menjadi negeri mesra pelabur dan akan mengurangkan semua halangan bagi memudahkan pelaburan.

“Kerajaan akan mengekalkan momentum ini bagi memastikan Sabah terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka, di sini malam ini.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah,Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi terus memacu Sabah, Kerajaan Negeri yang diperkukuhkan melalui Muafakat GRS-BN, telah melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ pada 29 Mac 2021.

Katanya, ia telah dimurnikan serta diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan Majlis Retrospektif Aspirasi pada 29 Mac 2022 bagi meninjau prestasi dan memperteguhkan aspirasi.

“Pelan Hala Tuju SMJ ini melibatkan Tiga Teras Utama iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi melalui tiga sektor fokus utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.

“Teras utama kedua iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, teras utama ketiga menekankan pada kualiti dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada akses jaringan infra dan kelestarian hijau.

“Pelan ini merentasi segenap lapisan segmen masyarakat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Katanya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan dan kemajuan ke negeri ini.

“Kita akan terus gigih untuk merapatkan jurang perbezaan dengan keyakinan usaha yang diambil pasti akan membuahkan hasil.

“Kerajaan Persekutuan telah menerima segala keperluan Sabah melalui komitmennya di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk meningkatkan lagi pembangunan Sabah,” katanya.

Menurutnya, walaupun sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan tahun ini diadakan di Melaka, namun Sabah juga tidak terkecuali meraikan sambutan ini secara sederhana tetapi meriah sebagai sebuah masyarakat majmuk, makmur dan sejahtera.

Katanya,16 September merupakan tarikh yang amat bersejarah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta menghayati semangat kemerdekaan yang dikecapi hari ini hasil kesinambungan semangat para pejuang.

“Marilah kita bersama-sama mempertahankan keamanan dan perpaduan yang dikecapi ini hingga ke generasi akan datang,” katanya.

Katanya, Rukun Negara merupakan kunci utama kepada keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia, yang perlu diutamakan oleh rakyat negara ini. Prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara adalah “azimat” yang menyimpul keamanan dan kesejahteraan yang padu.

Menurutnya, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan di Sabah dan Sarawak kerana sejak dahulu kehidupan rakyat di kedua-dua negeri ini adalah berasaskan rasa saling menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan kaum, agama dan budaya.

“Marilah kita menjiwai Hari Malaysia dengan penuh semangat patriotik agar keharmonian dan keamanan sentiasa terpelihara di bumi tercinta kita dan bagi melihat negeri Sabah membangun lebih maju dan berjaya, aman dan makmur dalam Malaysia,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tindakan tegas jika tidak senonoh ketika sambutan Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya