Kerajaan pastikan hak-hak Sabah, Sarawak terus terpelihara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

BANDA HILIR : Kerajaan akan memastikan hak-hak bagi negeri Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah terus terpelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 yang lalu.

Katanya, ia juga adalah bukti Kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan Kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir Ayer Keroh Melaka di sini malam tadi.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ismail Sabri berkata, Majlis Khas itu bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini.

“Kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah.

“Manakala RM4 bilion lagi diperuntukkan untuk Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *